Mee kuah tulang rusuk. gear box pikat selera

Mee kuah tulang rusuk. gear box pikat selera

Siti Norshuhada Abdullah, di hadapan kedainya di Kubang Pasu Kedah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIAPA sangka seorang usahawan kosmetik boleh merubah selera tempatan dengan resipi warisan yang memikat deria rasa. Begitulah kisah sebuah restoran Mee Kuah Tulang Rusuk Padu yang semakin mendapat tempat di hati penggemar makanan utara ini sejak dibuka pada 2023.

Restoran ini diusahakan oleh usahawan kosmetik terkenal di negeri ini yang juga seorang pempengaruh popular, Siti Norshuhada Abdullah, 39, yang juga terkenal dengan panggilan Kak Bab.

Menu utama yang juga signature restoran ini adalah Mee Kuah Tulang Rusuk, Mee Kuah Gearbox, Mee Kuah Daging Pacak dan Mee Kuah Urat Keting.

Kuahnya pekat berempah, direneh selama berjam-jam menggunakan hanya tulang rusuk dan ramuan tradisi bagi mengekalkan rasa asli.

Lokasi: Plaza Seri Tunku,
Jitra, Kubang Pasu Kedah
Operasi: 4 petang hingga 10 malam (Selasa-tutup)

Apa yang menjadikannya lebih Istimewa adalah sumsum tulang yang lembut dan mudah disedut sekali gus menjadi satu pengalaman yang dinantikan pelanggan.

Menurut Siti Norsuhada yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama suami tercinta, Nor Mohd. Khomaini Ibrahim, 43, mereka hanya menggunakan tulang rusuk yang segar bukan sejuk beku untuk memastikan keunikan rasa mee kuah di restoran berkenaan.

“Tulang rusuk mempunyai lapisan daging yang lebih tebal dan lembut berbanding bahagian lain dan juga mempunyai lapisan lemak yang berperisa, berjus dan lembut setelah dimasak.

“Bahagian ini memang sesuai untuk menu mee kuah tulang. Tulang rusuk juga ada sumsum seperti gearbox. Jadi apabila menggunakan tulang rusuk keseimbangan rasa mee kuah ini sempurna dari segi kelembutan daging, lemak dan kemewahan kuah,” katanya ketika ditemui di restoran tersebut baru-baru ini.

Menurut pemilik jenama kosmetik, Rosetyara itu, walaupun berusia setahun jagung namun dia tidak menyangka sambutan yang diberikan amat menggalakkan dalam kalangan pelanggan dari seluruh negara.

“Bukan sekadar orang Kedah tetapi orang jauh dari Kuala Lumpur juga. Ada juga orang Thailand yang datang ke Jitra hanya untuk menjamu selera di sini. Apabila saya membuka bisnes makanan ini pada 2023 ia kerana untuk memenuhi permintaan rakan-rakan yang menggemari mee kuah kami.

“Suami dan saya suka masak mi kuah apabila orang bertandang ke rumah dan dari situ banyak yang suruh buka kedai. Kami buka kiosk sahaja pada 2023 dan tidak sangka tular. Untuk keselesaan pelanggan kami bukan restoran ini,” kata ibu kepada empat cahaya mata ini.

Harga ditawarkan juga berpatutan dengan semangkuk Mee Kuah Tulang Rusuk hanya RM23 sehingga RM65 untuk Mee Kuah Gearbox.

Menurut Nor Mohd. Khomaini, mereka memerlukan sehingga 100 kilogram tulang rusuk dan 40 kilogram gearbox setiap hari untuk jualan di restoran tersebut.

“Kadang-kadang bertambah apabila musim perayaan kerana orang balik kampung. Kuah tulang rusuk ini direneh dari pagi hingga petang untuk memastikan dagingnya lembut dan menyatu dengan rempah yang digunakan,” katanya yang juga bekas jurutera yang terjun ke dunia perniagaan enam tahun lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×