Mara henti hantar pelajar ke Amerika Syarikat

Mara henti hantar pelajar ke Amerika Syarikat

ASYRAF Wajdi Dusuki
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan menghentikan penghantaran pelajar tajaannya bagi menyambung pelajaran ke universiti-universiti di Amerika Syarikat bermula tahun ini.

Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara tersebut mengambil kira situasi politik dan dasar-dasar semasa Amerika Syarikat yang dilihat berubah-ubah yang dibimbangi akan memberikan impak kepada para pelajarnya.

Kata beliau, oleh itu perbincangan dengan pelajar-pelajar yang sudah berada di kolej-kolej persediaan untuk ke Amerika Syarikat ketika ini akan dilakukan pihak pengurusan Mara bagi menentukan haluan baharu pengajian mereka.

Tambahnya, perbincangan sama juga akan dilakukan bersama kira-kira 266 orang pelajar tajaan Mara yang sedang berada di negara Uncle Sam itu supaya mereka dapat menyambung pengajian di negara lain yang turut menawarkan bidang yang sama.

“Mara sekarang fokus kepada pelajar-pelajar kami yang sedang berada di Amerika Syarikat, sejauh mana ia menjejaskan pengajian mereka. Tetapi pelajar-pelajar yang akan datang, saya telah pun meminta pihak pengurusan mulakan perbincangan dengan pelajar ini untuk kita hentikan penghantaran ke Amerika Syarikat dan menukar mereka ke negara-negara lain.

“Ketidakketentuan polisi yang berubah-ubah, jadi Mara telah berbincang untuk tidak meriskokan mereka yang sudah berada di kolej-kolej persediaan yang sepatutnya kami hantar ke Amerika Syarikat Oktober ini.

“Perbincangan akan dibuat dengan mereka supaya untuk menukar haluan pendidikan mereka ke negara lain, bukan lagi Amerika Syarikat,” katanya Ketika ditemui pemberita Malaysia di sini hari ini.

Asyraf Wajdi kini berada di London bersama delegasi Malaysia yang menyertai lawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ke United Kingdom bermula hari ini.

Sementara itu, kata beliau, United Kingdom, Australia, New Zealand, Korea Selatan, Jepun dan juga China menjadi antara negara yang sesuai kepada pelajar Mara di Amerika Syarikat untuk mengubah lokasi pengajian mereka.

“Negara-negara ini juga menawarkan bidang-bidang yang sama malah lebih murah kosnya berbanding kita hantar seperti Universiti Harvard dan universiti-universiti lain di Amerika Syarikat.

“Penghantaran pelajar ke luar negara adalah berdasarkan keperluan strategik negara pada masa hadapan, bidang-bidang ini menjadi kepentingan negara. Bidang-bidang ini juga ada di universiti-universiti di New Zealand, Australia, United Kingdom, Jepun, Korea Selatan malah juga China,” katanya.

Jelasnya, bidang pengajian yang dimaksudkan itu seperti sains komputer, kejuruteraan, dan bidang-bidang teknolog tinggi lain seperti robotik dan kecerdasan buatan (AI). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN