JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyarankan supaya mangsa penipuan pakej haji mengemukan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) bagi menuntut pampasan sewajarnya.
Timbalan Menterinya, Dr. Fuziah Salleh berkata, setakat ini kementerian tidak menerima sebarang aduan rasmi berkaitan kes berkenaan dan mangsa boleh membuat laporan atau aduan di mana-mana cawangan KPDN di seluruh negara atau secara dalam talian.
“Mungkin pengguna tidak tahu hak mereka. Melalui TTPM, pengadu boleh membuat tuntutan sehingga RM50,000.
“Mereka ingat buat laporan polis (sahaja) cukup, tetapi mereka juga kami saran agar melaporkannya kepada TTPM,” katanya pada akhbar selepas merasmikan Program Kepenguatkuasaan dan Advokasi Penggunaan, di sini hari ini.
Baru-baru ini, media melaporkan seramai 47 warga emas didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Mereka didakwa dipaksa meredah laluan berbahaya dengan berjalan kaki tanpa dokumen untuk ke Mekah sebaik tiba di Jeddah, susulan kawalan ketat oleh pihak berkuasa Arab Saudi terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Setakat ini pihak polis telah menahan dua invidividu bergelar ustaz bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Menurut Fuziah, TTPM akan membuat penilaian secara terperinci termasuk jumlah bayaran yang dibuat, janji yang ditawarkan serta perkhidmatan yang sebenarnya diterima pengguna. – UTUSAN