Bahasa persuratan dan budaya menjadi elemen penting bagi menilai perkembangan sesuatu bangsa . Ini menunjukkan bahasa sesuatu bangsa bukan sekadar medium komunikasi tetapi nilai nilai estetikanya menunjukkan kekayaan khazanah budaya yang dimiliki. dan menjadi tanggungjwab DBP menggalasnya.
Tidak mungkin ada bangsa yang tidak memiliki bahasa sendiri kerana setiap komunikasi mesti ada alat berkomunikasi, sekurang-kurangnya perkataan tertentu dalam bentuk huruf atau simbol.
Mereka berkomunikasi kadangkala tanpa bunyi, sebaliknya dalam bentuk gambar atau rajah .
Masyarakat kuno pratamadun dahulu berkomunikasi dengan simbol simbol tertentu melukis pada dinding gua sebagai contoh sebagai cara berkomunikasi dan jika teliti lebih mendalam ada 1001 macam cara berkomunikasi tanpa menggunakan perkataan atau bahasa tertentu.
Ini kerana apabila sebuah bangsa bergerak maju, ia disebabkan oleh penguasaan ilmu dan bahasa merekalah yang menjadi pelantar ilmu itu disalurkan ke dalam masyarakat. Sebuah negara bangsa seperti Malaysia, bangkit selepas terjajah ratusan tahun dan aktiviti berbahasa dan ekonomi muncul kemudian. Selepas itu baharulah muncul institusi pendidikan dan kemudahan lain.

Semua elemen-elemen ini berkembang secara berevolusi selaras dengan kemajuan bangsa dan bahasa juga lah yang memainkan peranan. Malaysia tidak terkecuali kerana menjelang negara menyambut kemerdekaan, penggunaan bahasa dianggap semakin penting.

Salah satu usaha tersebut adalah dengan menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai badan yang mengawal perkembangan sastera dan budaya tanah air.
Berdasarkan sejarah, DBP atau nama asalnya Balai Pustaka ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru, Johor. Ketika itu DBP merupakan sebuah jabatan kecil di bawah Kementerian Pelajaran.
Penubuhannya bertujuan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara yang akan merdeka ketika itu. Pada peringkat awal, DBP mengorak usaha murninya di Bukit Timbalan, Johor Bahru.
Namun hasil Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III yang berlangsung di Singapura dan Johor Bahru pada 16 hingga 21 September 1956, kerajaan menerima cadangan kongres tersebut yang mahu menamakan Balai Pustaka dengan nama Dewan Bahasa dan Pustaka.
Di samping itu, DBP dinaikkan taraf sebagai badan yang mempunyai anggota lembaganya sendiri.
Pada tahun 1957, DBP berpindah ke Kuala Lumpur dan ditempatkan di bekas sebauh wad sebuah hospital di Jalan Young. Perpindahan tersebut bertujuan memudahkan segala pelaksanaan tugasnya yang selaras dengan pengisytiharan bahasa Melayu, iaitu bahasa kebangsaan akan menjadi bahasa rasmi tunggal negara.
Berdasarkan tahun penubuhannya, DBP kini berusia 69 tahun , satu usia yang cukup dewasa bagi menghadapi cabaran dari segenap sudut sesuai dengan peranannya. Antara cabaran utamanya adalah bagaimana terus memartabatkan bahasa Melayu selaras dengan perkembangan semasa. Peranan DBP memastikan bahasa dan budaya terus kukuh dalam dalam keadaan yang diasak dari segenap sudut. Bahasa Melayu begitu tercabar dengan gaya hidup kita sekarang yang mudah atau mengambil mudah. Muncul gaya berbahasa yang berbeza di bawa generasi Z.
Ada yang menggelarkan bahasa ‘mat rempit’ kerana penggunaan bahasa atau istilah yang jarang didengar yang penggunaannya melanggar sama sekali tatabahasa dan nilai estetika bahasa Melayu.
Menjelang sambutan ulang tahun penubuhan DBP yang ke-69 ini , agensi Kementerian Pelajaran itu tidak ada pilihan selain berdepan isu kerosakan bahasa yang dibawa anasir perosak tidak bertanggungjawab.
Ketua Pengarah DBP Dr. Hazami Jahari pernah mengakui kewujudan anasir perosak bahasa ini. Namun sempena perayaan ulang tahun kali ini, beliau optimis dan berharap rakyat Malaysia mencintai dan menggunakan bahasa kebangsaan dalam semua urusan.
“Bangsa yang merdeka adalah bangsa yang menghormati dan memartabatkan bahasa, sastera dan budayanya sendiri,” ujar beliau.
Perlu diingat DBP bergerak atas tiga asas utama iaitu:
i. Perlembagaan Persekutuan
ii. Akta 213 – Akta Dewan Bahasa dan Pustaka, 1959 (Disemak 1978)
iii. Akta A930 Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan 1995)
Sejak penubuhannya, DBP telah melaksanakan tugasnya mengikut objektif penubuhan DBP, iaitu membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang, memperkembang bakat, mencetak dan menerbitkan, membakukan ejaan dan sebutan, membentuk istilah serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul. dan meluas.
Sambutan kali ini diisi dengan pelbagai program dan acara melibatkan segenap lapisan masyarakat.
Program tersebut diadakan ibu pejabat DBP di Hulu Klang, cawangan dan wilayah bermula 25 Jun ini selain beberapa lokasi lain iaitu di Tuaran, Membakit dan Kota Kinabalu di Sabah yang menjadi lokasi acara perasmian. Tun Yang Teruatama Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dijangka merasmikan sambutan ulang tahun ke-69 di Kota Kinabalu atau tepatnya di Pusat Perdagangan Antarabangsa Sabah pada 29 Jun.
Selain acara perasmian pada Sabtu ini, pelbagai program iringan turut diadakan melibatkan banyak pemegang taruh dalam bidang bahasa kesusasteraan dan perbukuan.
Pengisian program sejajar dengan tema karnival Madani Nan Abadi (MANA) antaranya taklimat Dana Industri, pertandingan lagu puisi, . Wacana puisi esei ASEAN, Aroma Meja Bulat : Serumpun Madani, manakala golongan muda berpeluang menyertai program Kreatif dan Kritis Bersama Editor DBP yang menyasarkan penyertaan penulis baharu terutama dalam kalangan penulis Sabah.
Menggunakan tema Obor Semangat Nan Abadi yang memerika lirik lagu DBP, program yang dianjurkan sempena sambutan ulang tahun kali ini diharap memperteguh iltizam agensi berkenana dalam memartabat bidang penulis dan sastera tanah air.
Ia merupakan perlambangan semangat memartabatkan bahasa Melayu kekal utuh walaupun terus diuji pelbagai dugaan dan cabaran.
Sejak 1962 DBP berpindah ke bangunan sendiri di Jalan Lapangan Terbang Lama (sekarang Jalan Dewan Bahasa). Pada tahun 1977, DBP mengembangkan sayapnya ke Malaysia Timur dengan membuka dua pejabat di Kota Kinabalu, Sabah dan di Kuching, Sarawak. Ini diikuti pula dengan pembukaan empat pejabat DBP Wilayah Utara di Bukit Mertajam, Pulau Pinang (1999), Pejabat
DBP Wilayah Timur di Kota Bharu, Kelantan (1999), Pejabat DBP Wilayah Selatan di Johor Bahru, Johor (2000) dan Pejabat DBP Wilayah Tengah di Kuala Lumpur (2011). – UTUSAN










