Lesen ladang ayam terbesar di Jasin kena tarik

Lesen ladang ayam terbesar di Jasin kena tarik

MUHAMAD Akmal Saleh menanam pokok sebagai simbolik merasmikan program WRUR DUN Bemban di Taman Kesang Damai, Jasin, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JASIN: Sebuah ladang ayam terbesar di daerah ini ditarik lesen perniagaan selepas didapati gagal menguruskan najis haiwan itu hingga menyebabkan pencemaran bau dan gangguan lalat kepada penduduk di Simpang Bekoh di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, atas kuasa Pengarah Jabatan Veterinar Melaka, lesen premis ditarik serta-merta memandangkan banyak aduan tidak diendahkan pemilik.

Katanya, lesen terus digantung sehingga pihak pengurusan memenuhi lima tuntutan dikemukakan terutama aspek kebersihan yang menjadi punca utama pencemaran bau dan gangguan lalat.

“Ini bukan notis arahan tutup atau kompaun tetapi kita tarik terus lesen premis penternakan ayam yang menternak antara 70,000 hingga 80,000 ekor ayam.

“Masalah utama yang kita lihat apabila premis ini hanya mempunyai 12 pekerja untuk menguruskan 16 reban ayam sehingga menyebabkan pengurusan najis haiwan menjadi lambat dan berlakunya pencemaran bau dan kehadiran lalat mengganggu penduduk kampung,” katanya selepas merasmikan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban di Taman Kesang Damai di sini, hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, peniaga Medan Selera Simpang Bekoh dimaki pelanggan dan dipanggil bodoh hanya kerana lalat menghurungi premis berkenaan.

Para peniaga mendakwa, musim lalat kali ini paling teruk pernah dialami sepanjang empat tahun berniaga di situ. Meskipun meja dan lantai dicuci berkali-kali menggunakan cecair pembasmi lalat, serangga itu tetap memenuhi ruang niaga dan makanan yang sudah ditutup.

Muhamad Akmal berkata, WRUR adalah peluang kepada seluruh penduduk DUN Bemban yang merupakan kawasan diwakili pembangkang dalam menyelesaikan pelbagai masalah dengan pelbagai agensi kerajaan negeri.

“Setakat ini WRUR telah menjelajah empat DUN dan Bemban adalah yang kelima di mana semua agensi turun padang selama dua minggu untuk kita melihat semua jenis aduan dan apa juga masalah akan diselesaikan sebaik mungkin,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN