CIK Bunga memang sengaja tak mahu sebut siapa nama artis lelaki ini. Tetapi, apa yang boleh Cik Bunga beritahu, dia baru sahaja bernikah dengan wanita pilihannya baru-baru ini.
Okeylah bukan, mengakhiri zaman bujang ketika usia pun menjengah angka 40. Hendak dijadikan cerita, ada yang beritahu Cik Bunga, majlis perkahwinan artis itu berlangsung dalam suasana sangat meriah.
Alhamdulillah, semuanya selesai dan berjalan dengan lancar. Tetapi, apa yang menjadi persoalan, kenapa abang kandung si artis itu yang juga selebriti, tidak hadir ke majlis yang sama?
Dengarnya si artis itu melayangkan kad jemputan kepada abangnya pun adalah di saat-saat akhir. Macam tak bagi datang pun iya? Tapi tak akanlah Cik Bunga hendak kirkan yang negatif sahaja.
Mungkin kalau kita cuba bersangka baik, abangnya ada urusan lain barangkali ketika majlis adiknya itu berlangsung. Tak tahulah Cik Bunga jika hubungan antara adik-beradik sedang dingin, sebelum ini nampak elok-elok saja.
Cik Bunga juga dapat tahu, perkahwinan ni bukanlah tanpa restu keluarga. Malah ibu kepada artis tersebut memang hadir dan nampak gembira sepanjang majlis.
Jadi, kalau sudah mendapat restu, kenapa pula ahli keluarga lain tidak dijemput? Bukannya kahwin setahun sekali, ini bukan majlis hari jadi.
Ada juga Cik Bunga dengar, kalangan keluarga artis itu ada yang terasa hati. Iyalah, majlis pun agaknya berkonsepkan tertutup dan sangat privasi. Jadi, hendak jemput semua orang itu, tidaklah.
Tetapi kalau abang kandung dia sendiri pun tidak hadir di hari bahagianya, itu memang pelik jugalah. Tak akanlah hari bersama keluarga seperti ini mahu dilepaskan. Apa-apa pun, Cik Bunga harap perkahwinan artis ini tetap bahagia dan harmoni walau bermula dengan tanda tanya.
Tapi kalau betul-betul tak ada apa-apa yang pelik, mungkin elok juga dia tampil jelaskan. Bukan sebab tidak tumpang bahagia, tetapi dah nama awak pun artis dan selebriti, apa salahnya kongsikan kisah gembira keluarga dengan semua peminat.