KUALA LUMPUR: Pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid tidak tergugat dengan kehadiran pemain warisan dalam skuad kebangsaan.
Sebaliknya, pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menganggap ia sebagai satu bentuk persaingan sihat yang mampu memperkukuh pasukan.
Mengulas desas-desus mengenai kemasukan beberapa warisan ke dalam skuad negara, Safawi berkata, ia bukanlah satu ancaman kepada pemain tempatan.
“Bagi saya, ia satu perkembangan positif. Kehadiran mereka akan wujudkan suasana latihan yang lebih kompetitif.Saya tiada masalah selagi semua beri komitmen 100 peratus,” katanya.
Menurut Safawi, setiap pemain perlu menunjukkan kesungguhan dalam setiap sesi latihan tanpa mengira status sama ada pemain tempatan atau warisan.
“Siapa pun dalam pasukan, semua kena beri sepenuh tumpuan dan usaha. Tak ada alasan. Semua perlu bersedia,” katanya.
Safawi turut menyifatkan kehadiran pemain baharu, termasuk pemain warisan sebagai peluang terbaik untuk meningkatkan daya saing dalam kalangan pemain sedia ada.
“Kita sebagai pemain tempatan perlu ambil ini sebagai cabaran yang sihat. Bila ada saingan macam ini, barulah pasukan boleh jadi lebih kuat,” ujarnya.
Sebelum ini, beberapa nama dikaitkan bakal menyertai skuad Harimau Malaya menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2027 menentang Vietnam termasuk pemain kelab America de Cali (Colombia), Rodrigo Holgado, pemain pertahanan Sabah FC (Azerbaijan), Jon Irazabal serta penyerang Panserraikos FC (Greece), Jefte Betancor.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai penyertaan pemain-pemain tersebut.- UTUSAN