Mencari laksa Sarawak dan mi kolok halal yang asli di Pulau Pinang bukan sesuatu yang mudah.
Namun, sejak beberapa tahun lalu, kehadiran sebuah kafe yang terletak di Bertam Walk, Kepala Batas, Pulau Pinang berjaya membawa angin ‘kesegaran’ kepada peminat makanan Bumi Kenyalang di negeri ini.
Katz Garden Cafe, yang diasaskan oleh Khatijah Ismail, 44, bukan sahaja menyajikan cita rasa asli dari Sarawak, tetapi, turut mengekalkan kehalalan dan keaslian bahan masakan yang digunakan.
Berasal dari Sarawak dan menetap di Pulau Pinang sejak 2019, Khatijah atau lebih mesra dipanggil Katz mengakui, ilham membuka kafe itu timbul apabila beliau sukar mendapatkan laksa Sarawak dan mi kolok halal di kawasan utara tanah air.
KATZ GARDEN CAFE
Lokasi: Bertam Walk, Pulau Pinang
Operasi: Selasa hingga Jumaat.
Waktu 12 tengah hari hingga 7 malam
Menu popular: Mi Kolok, laksa Sarawak dan kek
“Kebanyakan kedai yang jual mi kolok Sarawak ini biasanya diusahakan oleh orang bukan Islam. Jadi, agak sukar untuk orang Islam menikmati makanan asli dari Sarawak ini.
“Daripada situ, tercetusnya ilham saya memulakan perniagaan makanan Sarawak di Pulau Pinang yang sememangnya lebih dikenali dengan hidangan nasi kandar berbanding makanan lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut Khatijah, bisnes Katz Garden Cafe bermula kecil-kecilan dari rumah keluarganya di Bertam pada 2021.
“Ketika itu, operasi hanya dijalankan selama tiga hari dalam seminggu, iaitu setiap Jumaat sehingga Ahad dan menu permulaan pula terdiri daripada laksa Sarawak, mi kolok, spaghetti bolognese dan nasi Mongolian.

“Namun, ia tetap mendapat sambutan hangat sekali gus membuktikan makanan Sarawak juga mempunyai tempat dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya yang mempromosikan produknya melalui Facebook dan Instagram tanpa iklan atau rebiu berbayar pada ketika itu.
Menurutnya, ibu beliau, Zakiah Nawawi, 65, menjadi tulang belakang di dapur bersamanya manakala adik, Nur Balqis Ismail, 24, pula bertindak sebagai barista dan penyedia minuman.
“Sementara itu, ayah saya pula, Ismail Ebi,bertindak sebagai public relations officer (pegawai perhubungan pelanggan) tidak rasmi iaitu dengan melayan pelanggan.
Khatijah berkata, selain menu utama laksa Sarawak dan mi kolok, pelanggan yang berkunjung ke restoran mereka juga boleh mencuba pelbagai hidangan lain seperti Mongolian beef rice, udang masala, udang masak lemak serta pelbagai jenis pasta.
“Kafe ini juga terkenal dengan sajian kek buatan sendiri termasuk kek coklat, kek keju dan kek aiskrim manakala kek lapis Sarawak seperti kek lumut dan kek belacan pula hanya ditawarkan pada bulan Ramadan atau melalui tempahan khas,” katanya.
Lebih menarik, Khatijah berkata, kafe ini turut memperkenalkan menu khas untuk kanak-kanak seperti mac and cheese, nasi ayam sup bersama telur serta aiskrim yang diberikan secara percuma sebagai salah satu sedekah daripada pemilik.
“Tak kisahlah budak kecil atau remaja, sesiapa sahaja yang nak rasa boleh minta. Kalau nak tambah pun kami tak kisah. Ini sebahagian daripada cara saya ‘memberi balik’ kepada masyarakat,” katanya yang memberitahu, harga makanan termasuk kek dan pencuci mulut di situ bermula serendah RM12 manakala minuman pula boleh didapati pada harga serendah RM5 sahaja.
Walaupun beroperasi secara sederhana, Katz Garden Cafe sering mendapat undangan untuk menyediakan hidangan dalam acara khas seperti majlis korporat, program kolej termasuk di Universiti Sains Malaysia (USM) dan pelbagai majlis tertutup. – UTUSAN










