PETALING JAYA: Kehadiran Tunku Mahkota Ismail yang memberi kata-kata semangat kepada barisan pemain kebangsaan menjadi antara ‘kunci’ kejayaan skuad Harimau Malaya membelasah Vietnam 4-0 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Pasukan kebangsaan menerusi laman Facebook rasminya, Malaysia NT berkongsi video di dalam bilik persalinan yang menunjukkan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) itu melontarkan kata-kata semangat kepada barisan pemain sebelum aksi kedua Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027.
Menerusi video satu minit 26 saat itu, Tunku Mahkota Ismail menjelaskan kepada pemain perjuangan skuad negara adalah misi mengangkat martabat bola sepak tanah air ke tahap yang lebih tinggi.
Jelas beliau, keputusan dan pencapaian menjadi kayu pengukur kepada kejayaan revolusi Harimau Malaya.
“Ia umpama revolusi, kita cuba membawa bola sepak Malaysia ke tahap lebih baik. Sekarang, apa sahaja yang kita rancang, apa sahaja yang kita bina, tiada maknanya jika tiada keputusan atau pencapaian.
“Ingat, ada beberapa pihak yang tak percaya. Tidak mengapa, kita sedang melakukan sesuatu yang baru. Biarkan saja, apa yang anda lakukan adalah lebih penting daripada apa yang mereka fikirkan.
“Sudah tiba masanya untuk kita tunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Jika kita ubah bola sepak dalam tanah air, ia semua kerana anda, bukan orang lain, anda pahlawannya.
“Kita mahu mereka percaya dan salah satu cara mereka boleh percaya adalah apabila kita tunjuk perwatakan, semangat perjuangan, ini rumah kita,” kata Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.
Dalam aksi itu, penyerang warisan baharu, Joao Figueiredo yang juga pemain terbaik perlawanan menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-49 sebelum Rodrigo Holgado, Corbin Ong dan Dion Cools menambah tiga lagi gol selepas itu untuk menutup malam penuh gemilang buat pasukan kebangsaan.
Kemenangan ke atas Vietnam membolehkan Harimau Malaya memimpin Kumpulan F dengan mengumpul enam mata, tiga mata di depan Vietnam dan Laos, manakala Nepal di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Kemenangan itu turut menyaksikan Harimau Malaya berjaya menamatkan badi 11 tahun tidak menang ke atas Vietnam, sejak kali terakhir pada 2014.-UTUSAN