KUALA LUMPUR: Tujuh premis berlesen yang disyaki memproses sisa elektronik atau e-waste yang diseludup masuk dari luar negara secara tidak sah sedang disiasat.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rosli Zul berkata, sebanyak 57 premis telah disiasat dalam Operasi Bersepadu Hazard 2.0 yang mana tujuh daripadanya dikenal pasti memiliki lesen sah untuk memproses buangan terjadual dalam negara.
Kata beliau, premis ini diberi lesen untuk memproses e-waste tempatan, tetapi kita dapati bahan yang diterima menyerupai sisa dari luar negara.
“Perkara ini memerlukan siasatan lanjut kerana sekiranya benar, ia melanggar syarat lesen yang ditetapkan JAS,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman di sini hari ini.
Beliau berkata, Malaysia kini menjadi antara negara sasaran sindiket antarabangsa untuk menghantar sisa elektronik secara haram termasuk dari Eropah.
“Lebih 600 kontena e-waste berjaya dikesan di Pelabuhan Klang dan bahan itu dibawa masuk atas nama ‘barangan kitar semula’ tetapi sebenarnya sisa berbahaya.
“Mereka menggunakan modus operandi yang licik dan mengelirukan, manakala kebanyakan kilang haram di sini tidak memasang alat kawalan pencemaran,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan kilang e-waste haram beroperasi dengan kos rendah kerana menerima bahan mentah secara percuma atau dibayar, dan menjual semula hasil proses dengan harga pasaran tinggi.
“Proses tanpa alat kawalan menyebabkan bahan toksik terlepas ke alam sekitar, memberi kesan kepada kesihatan awam dan alam sekitar secara langsung.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dalam menangani isu ini termasuk memberi latihan kepada mereka untuk mengenal pasti bahan-bahan e-waste yang cuba diseludup masuk,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) LHDN, Datuk Hisham Rusli, berkata pihaknya sedang menyiasat pemilik dan pengendali premis e-waste yang dipercayai gagal mengisytiharkan pendapatan sebenar.
“Kita percaya ada antara mereka langsung tidak melaporkan pendapatan, atau mengurangkan jumlah sebenar kepada LHDN.
“Siasatan awal terhadap 57 premis terbabit mendapati pelarian cukai yang berlaku mungkin mencecah sekitar RM500 juta,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Azmi Abu Kassim, pula menegaskan aktiviti tidak sah tetap tertakluk kepada undang-undang cukai negara.
Azmi berkata, hasil siasatan mendapati bahan e-waste diproses secara konvensional dan hasil logam seperti tembaga serta timah dijual semula dengan nilai tinggi, tetapi tiada rekod cukai dikemukakan.
Jelasnya, perkara itu akan diteliti secara menyeluruh oleh LHDN dan agensi berkaitan untuk tindakan lanjut demi memastikan hasil negara tidak terus mengalami ketirisan.
Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan wujud ketirisan maklumat sebelum serbuan operasi kali ini, susulan penemuan beberapa premis yang sudah dikosongkan ketika pasukan penguat kuasa tiba di lokasi.
“Ada premis yang sudah tutup awal masa kita sampai. Tempat kosong. Barang pun tak ada. Jadi, kita syak mungkin maklumat operasi ini sampai ke pihak mereka lebih awal.
“Kalau kita pergi serbu dan tempat itu dah dikosongkan siap-siap, maknanya ada orang yang bocorkan maklumat. Perkara ini kita kena tangani serius,” katanya.
Azmi berkata, PDRM sedang mempertimbangkan penglibatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam pasukan serbuan.
Operasi Bersepadu Hazard 2.0 yang digerakkan serentak di sembilan negeri pada 16 Jun lalu menyasarkan 57 premis, dengan kekuatan seramai 1,582 pegawai dan anggota daripada 33 agensi.
Operasi ini menyaksikan 453 individu ditahan dan rampasan mencecah nilai RM1.003 bilion.
Ia adalah kesinambungan daripada Op Hazard pertama yang dilaksanakan pada Februari lalu, yang turut menyasarkan premis pemprosesan e-waste haram. – UTUSAN