Bermula 29 Mei 2025 hingga 9 Jun semua sekolah mula bercuti dan inilah tempoh dan saat yang amat dinantikan oleh pelajar-pelajar mahupun para ibu-bapa. Bercuti daripada hiruk-pikuk berkejaran ke sekolah serta kelam-kabut rutin menguruskan anak-anak pada waktu pagi adalah satu ‘kemerdekaan kecil’ bagi ibu bapa.
Sepanjang tempoh 12 hari ini pelbagai aktiviti telah pun dirancang oleh ibu-bapa mahupun pelajar-pelajar terutamanya peluang untuk pulang ke kampung bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha 1446H pada 7 Jun 2025. Didoakan kepada semua agar selamat sampai ke destinasi masing-masing.
Sepanjang percutian ini, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ingin mengingatkan pelajar agar menjaga kesihatan dan keselamatan diri masing-masing agar terhindar daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah serta boleh memberi mudarat kepada kesihatan dan masa depan mereka. Tempoh ini sebenarnya adalah tempoh yang lebih mencabar kerana kebanyakan masa dihabiskan di rumah mahu pun di lokasi-lokasi percutian pilihan keluarga masing-masing.
Harus diingat bahawa sebaik sahaja sekolah bermula semula pada 10 Jun ini masih banyak aktiviti dan sesi pembelajaran yang mereka wajib ikuti bagi memastikan mereka mendapat ilmu yang secukupnya sebelum berakhirnya sesi pada tahun ini pada 18 Disember 2025. Sesi pada tahun ini amat padat dan memerlukan tubuh badan serta fizikal yang ampuh untuk melaluinya serta menghabiskannya.
GPMS juga ingin memberi saranan kepada semua pelajar agar dapat jua mengambil seberapa banyak ruang dan peluang pada musim cuti persekolahan pada kali ini bagi mengulang kaji pelajaran mereka lantaran tempoh persekolahan yang padat pada sesi kali ini. Secebis ruang waktu mesti diisi dengan sehabis baik supaya semua yang perlu difahami dan dihadam dapat menjadi bekalan ampuh menjelang akhir sesi persekolahan.
Kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 khususnya, harus diingat bahawa peperiksaan bertulis SPM bakal bermula pada 2 Disember ini.
Maka, kalian hanya memiliki kurang lebih 25 minggu sebelum hari ‘besar’ itu tiba. Tempoh itu bukanlah lama memandangkan masih ada beberapa cuti umum serta Cuti Penggal 2 yang bakal mengisi ruang waktu berkenaan.
GPMS sentiasa mendoakan agar semua pelajar kita akan sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat sepanjang tempoh Cuti Penggal 1 ini dan bersedia untuk meneruskan perjuangan mencari ilmu sebaik sahaja tamat tempoh percutian.
MOHD TARMIZI A.RAZAK Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
Sebarang komentar si le e-mel ke [email protected]