Gesaan tukar Penyelaras DUN Sungai Udang disuarakan rakyat

Gesaan tukar Penyelaras DUN Sungai Udang disuarakan rakyat

MOHD. ALEEF YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Gesaan menukar Penyelaras Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Sungai Udang datang daripada keluhan rakyat yang kecewa dengan prestasi penyandangnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Dr. Mohd. Aleef Yusof mendakwa, masyarakat sering mengadu dan mempersoalkan kredibiliti Datuk Rais Yasin dalam melaksanakan tanggungjawabnya di kawasan itu.

Katanya, ada yang merungut dan kecewa selepas tidak berjaya mendapatkan bantuan setelah berkunjung ke Kompleks Japerun Sungai Udang.

“Jangan kata saya tidak buat kerja. Isu dan permasalahan di Sungai Udang sentiasa diperjuangkan tetapi amat mengecewakan kerana banyak perkara yang tidak dapat diselesaikan oleh kerajaan negeri. 

“Isu-isu seperti pembinaan loji sisa ke tenaga (WTE), klinik kesihatan daif dan isu sekolah rendah agama (SRA) telah disuarakan secara lantang. Bagaimanapun, kerajaan negeri memilih untuk memandang sepi apa yang diperjuangkan oleh pembangkang,” katanya.

Sebelum ini, Mohd. Aleef dalam satu klip video yang dimuat naik di laman sosial mendakwa, Rais yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka gagal menjaga kebajikan dan pembangunan rakyat di Sungai Udang.

Susulan itu, Rais menyanggah perkara itu dan menyifatkannya bersifat politik serta menganggap Mohd. Aleef hanya lantang di alam maya tanpa turun padang melihat keadaan sebenar.

Tambah Mohd. Aleef, sepatutnya permasalahan yang dihadapi rakyat dapat diselesaikan dengan mudah kerana Penyelaras DUN merupakan seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco).

“Apa yang saya ketengahkan adalah keluhan rakyat. Saya adalah ADUN pembangkang yang tidak mendapat peruntukan sewajarnya tetapi tetap teguh menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Mungkin ada baiknya Penyelaras Japerun Sungai Udang digantikan dengan individu lain yang boleh memberikan perhatian penuh terhadap kawasan ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN