MELAKA: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) memperkenalkan program khas membantu bekas atlet kebangsaan menceburi bidang perniagaan dan keusahawanan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd. Halim berkata, sebagai langkah permulaan, program Transformasi Teknologi dan Pengurusan Tanaman Nanas serta Kursus Personel Binaan (Kad Hijau) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dilaksanakan Februari lalu.
Menurutnya, program khas tidak tertumpu kepada pertanian dan binaan semata-mata tetapi merangkumi pelbagai bidang bersesuaian untuk membantu bekas atlet kebangsaan selepas persaraan mereka.
“Yakeb kini tidak lagi semata-mata membantu bekas atlet dengan menawarkan 12 skim bantuan khas meliputi khairat kematian ahli, suami atau isteri ahli, rawatan perubatan penyakit kritikal dan bukan kritikal, rawatan perubatan hospital (pesakit luar) dan bantuan alat sokongan perubatan.
“Kementerian percaya bahawa bekas atlet adalah aset negara yang mempunyai potensi besar dan harus diberikan peluang untuk terus maju ke hadapan serta mengubah kehidupan harian mereka menjadi lebih bermakna,” katanya ketika ditemui pada program Visit & Treat-Skuad Yakeb Prihatin di sini, hari ini.
Adam Adli menyampaikan sumbangan khairat kematian kepada balu bekas pemain bola sepak kebangsaan, mendiang Robert Choe iaitu Cho Yoon Chhing berjumlah RM3,000.
Dua atlet yang turut menerima sumbangan Yakeb ialah bekas atlet bina badan, Samsul Mat Juah yang menghidap penyakit buah pinggang kronik dan bekas atlet silat negara, Wardi Salim yang menderita masalah jantung.
Sementara itu, Pengerusi Yakeb, Datuk Ahmad Sapawi Ismail berkata, setakat ini RM875,357 telah diperuntukkan bagi membantu hampir 1,500 bekas atlet kebangsaan yang berdepan pelbagai masalah sejak 2004 hingga 2025.
Menurutnya, setakat ini hanya 3,200 bekas atlet telah mendaftar dan bernaung di bawah Yakeb.
“Bekas atlet kebangsaan digalakkan untuk mendaftar dengan Yakeb bagi memudahkan pelbagai jenis bentuk bantuan dapat disalurkan serta meringankan beban mereka,” ujarnya. – UTUSAN