e-sukan satu pendidikan alternatif

e-sukan satu pendidikan alternatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dekad terakhir, dunia telah menyaksikan lonjakan luar biasa dalam bidang e-sukan atau sukan elektronik. Suatu ketika dahulu ia dianggap sekadar hobi masa lapang, kini e-sukan telah berkembang menjadi satu industri global yang bernilai berbilion ringgit.

Di Malaysia, perkembangan ini semakin ketara, malah mendapat sokongan kerajaan dan institusi pendidikan. Namun, adakah e-sukan hanya sekadar hiburan, atau wajar dilihat sebagai satu bentuk pendidikan alternatif yang berdaya maju?

e-sukan melibatkan pertandingan permainan video yang kompetitif secara individu mahu pun berpasukan.

Di sebalik aksi permainan yang kelihatan santai, sebenarnya terselit pelbagai kemahiran penting seperti kepimpinan, kerjasama berpasukan, pemikiran strategik, dan penyelesaian masalah yang kompleks. Malah, kebolehan berfikir pantas dalam situasi tekanan tinggi juga menjadi kunci kejayaan dalam dunia e-sukan, sama seperti dalam dunia profesional.

Di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi, pendekatan pendidikan konvensional mula diimbangi dengan pendekatan baharu yang lebih relevan dengan gaya hidup pelajar masa kini.

Penting untuk difahami bahawa pendidikan bukan hanya tertumpu kepada pencapaian akademik semata-mata. Ia merangkumi pembangunan potensi individu secara menyeluruh, termasuk kemahiran insaniah dan literasi digital.

Melnerusi penyertaan dalam e-sukan, pelajar dapat membentuk disiplin diri, etika profesional, dan kemahiran komunikasi yang baik – semua ini merupakan aset penting dalam dunia pekerjaan moden yang serba mencabar.

Lebih menarik, perkembangan pesat industri e-sukan telah membuka pelbagai peluang kerjaya baharu. Selain menjadi pemain profesional, muncul juga kerjaya sebagai jurulatih, pengurus pasukan, pengulas permainan, pereka grafik, penulis skrip permainan, dan jurutera perisian. Ini membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar permainan, tetapi sebuah ekosistem pendidikan dan ekonomi yang saling melengkapi.

Namun begitu, terdapat juga cabaran yang perlu ditangani dengan serius. Isu seperti ketagihan permainan, pengabaian pelajaran, serta kandungan yang tidak sesuai boleh menjadi penghalang kepada perkembangan positif e-sukan. Justeru itu, adalah penting bagi ibu bapa, guru, dan pihak berkuasa untuk memainkan peranan dalam membimbing serta memantau penglibatan pelajar agar seimbang dan beretika.

Malaysia tidak boleh ketinggalan dalam arus ini. Sudah tiba masanya kita melihat e-sukan bukan sebagai ancaman, tetapi sebagai peluang pendidikan moden yang menepati kehendak zaman. – UTUSAN

Mohd Tarmizi Razak ialah Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN