KUALA NERANG: Durian dari kawasan Pedu, di sini yang sebelum ini kurang mendapat perhatian berbanding durian dari kawasan popular seperti Balik Pulau, Raub dan Batu Kurau kini semakin mencuri tumpuan dan berpotensi menandingi durian lokasi-lokasi itu.
Malah, permintaan terhadap durian Pedu turut meningkat sejak beberapa musim kebelakangan ini, hasil daripada kualiti buahnya yang dikatakan setanding dengan durian dari kawasan ternama.
Apatah lagi dengan rasa isinya yang lemak manis, bertekstur halus serta aroma kuat yang menyelerakan menjadi faktor utama ia semakin diminati.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, lebih 300 tan buah durian dari kawasan itu dijangka dapat dipasarkan tahun ini iaitu bagi pengeluaran pada Jun dan Ogos ini.
Katanya, pengeluaran itu bagaimanapun masih tidak dapat menampung permintaan peminat raja buah berkenaan walaupun kawasan penanaman telah ditambah kepada 280 hektar di 12 buah kampung sekitar Pedu.
“Berbanding ketika Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (Prospek) Pedu diperkenalkan KEDA pada 2022, ketika itu keluasan kebun durian di sini kira-kira 250 hektar sahaja dan kini diperluas sebanyak 30 hektar lagi.
“Jumlah pokok yang ditanam di kesemua kebun itu adalah 11,144 pokok durian kampung dan 7,851 lagi jenis klon varieti musang king, D24, duri hitam, udang merah dan beberapa jenis lagi,” katanya ketika ditemui pada Pesta Durian@ Pedu 2025 di Kampung Kepala Batas, Pedu.
Selain Kampung Kepala Batas, raja buah itu turut ditanam di Kampung Padang Setol, Kampung Kuala Tekai, Kampung Pauh, Kampung Baru Seladang, Kampung Musa, Desa KEDA Bukit Kura, Kampung Lubuk Merbau, Kampung Buluh, Kampung Banggol Pong, Kampung Pinang dan Kampung Tong Pelu.
Mahdzir berkata, pelaksanaan Prospek Pedu itu secara tidak langsung menambah pendapatan penduduk yang mengusahakan tanaman durian dengan KEDA turut memberi bimbingan serta bantuan baja sejak 2022.
“Tempoh pembangunan Prospek Pedu ini adalah selama lima tahun melibatkan kos berjumlah RM8 juta dan bagi tahun hadapan kita bercadang untuk tambah baik infrastruktur kebun durian di Pedu agar dijadikan pusat agro pelancongan setelah ianya semakin mendapat permintaan.
“Antaranya kita akan tingkatkan kemudahan jalan pertanian, pusat pengumpulan hasil durian dan fasiliti seperti tandas agar peraih durian tidak hanya mengambil buah di sini untuk dijual di luar tetapi penggemar durian sendiri yang datang menikmati raja buah ini di kebun yang tersedia,” katanya. – UTUSAN