Dana sukuk lebuh raya : Nilai sitaan aset, akaun milik Tan Sri meningkat RM142.7 juta

Dana sukuk lebuh raya : Nilai sitaan aset, akaun milik Tan Sri meningkat RM142.7 juta

Antara barang yang disita SPRM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Nilai sitaan aset dan pembekuan akaun termasuk penggunaan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang membabitkan seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri dianggarkan bernilai keseluruhan RM142.7 juta.

Satu sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, penyelewengan dana sukuk tersebut turut dibantu oleh golongan profesional seperti juruaudit, pakar kewangan, jurutera profesional serta syarikat-syarikat yang bertindak sebagai penerima wang secara berlapis atau layering.

Sumber memberitahu, notis pengisytiharan harta juga telah diserahkan kepada Tan Sri terlibat dan pihak yang berkaitan .
Kata sumber itu, daripada jumlah itu, sebanyak 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta diikuti lapan akaun syarikat berjumlah RM33 juta dibekukan.

“SPRM juga dipercayai menyita kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta selain sembilan buah kereta berjumlah RM7.65 juta.

“Sebanyak 13 buah kenderaan disyaki mempunyai kaitan dengan Tan Sri berkenaan masih belum lagi dikesan SPRM,” kata sumber itu.

Tambah sumber, antara jenama tangan mewah yang dikesan dibeli menggunakan dana sukuk itu ialah Hublot, ⁠Ulysse Nardin, Richard Mille, Cecil Purnell dan Patek Phillipe yang nilainya mencecah RM25 juta.

Jelas sumber, keterangan Tan Sri berkenaan masih belum diperoleh kerana beliau masih lagi berada di dalam wad di sebuah Hospital Swasta.

“Pegawai SPRM juga telah mengadakan pertemuan dengan doktor yang merawat beliau bagi mendapatkan pengesahan berkaitan status kesihatan sebelum keterangannya diambil,” jelasnya.

Semalam, akhbar ini melaporkan, kira-kira RM20 juta ‘dibelanjakan’ untuk aktiviti judi hasil penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, transaksi itu dikesan melalui siasatan dijalankan pihaknya setakat ini malah kemungkinan wang yang dibelanjakan lebih daripada RM20 juta bagi aktiviti perjudian.

Katanya, turut ditemukan, sebanyak 300 botol minuman beralkohol mewah sebuah stor simpanan.

SPRM masih mengesan aset di dalam negara dan luar negara untuk proses penyitaan dan seramai 45 saksi sudah dirakam percakapan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN