SEREMBAN: “Arwah Sheqal sangat baik, dia suka mendoakan orang lain dan mempunyai bakat unik dalam bidang seni.”
Demikian kata penyanyi, Datuk Nash, Nashrudin Elias, 66, yang juga rakan artis seangkatan dengan penyanyi Sheqal atau Shaharim Salehuddin sejak 40 tahun lalu.
“Kami berkawan baik tetapi sudah lama tidak berjumpa apabila masing-masing telah meningkat usia.
“Pemergian Sheqal dianggap satu kehilangan besar dalam industri tanah air memandangkan arwah mempunyai bakat unik bukan sahaja menyanyi tetapi kepakaran menjahit beg dan kasut kulit serta seni lukis abstrak, siapa yang dapat karyanya sangat beruntung,” katanya ketika ditemui di Masjid Taman Tuanku Jaafar, Senawang di sini hari ini.
Nash berkata, sepanjang arwah Sheqal sakit, beliau pernah berhubung dan menyampaikan bantuan menerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT)
“Malah, Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave sempat menyaksikan arwah Sheqal menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban. Saya datang lambat sedikit ke hospital kerana jalan sesak,” katanya.
Bagaimanapun, Nash bersyukur dapat menziarah arwah Sheqal walaupun dalam keadaan jasadnya sudah tiada.
Sheqal meninggal dunia di samping isteri dan anak-anaknya di wad Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Seremban pada pukul 12.31 tengah hari tadi. – UTUSAN