KUALA LUMPUR: Golongan agamawan diingatkan supaya tidak bersubahat atau menjadi alat kepada sindiket penipuan pakej haji yang semakin berleluasa hingga menjerat ribuan rakyat Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, tindakan segelintir agamawan yang sanggup menggunakan pengaruh agama untuk memperdaya orang ramai tanpa melalui saluran yang sah merupakan satu kesalahan dan pengkhianatan terhadap agama dan rakyat.
“Saya beri amaran dan nasihat kepada golongan agamawan ini, jangan sesekali gunakan agama untuk menipu.
“Jangan guna status agama untuk beri keyakinan palsu kepada rakyat kononnya mereka boleh menunaikan haji tanpa ikut peraturan dan tanpa kuota sah,” katanya ketika sidang media Majlis Apresiasi Ejen Kutipan Zakat PPZ-MAIWP 2025 di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, mangsa-mangsa yang terlibat dengan penipuan perlu tampil membuat laporan kepada pihak polis supaya tindakan sewajarnya boleh diambil terhadap syarikat atau individu yang menyeleweng.
“Jadi diharapkan mana-mana mangsa tampil buat laporan. Biar polis siasat dan ambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang menipu. Kita tidak mahu penipuan ini berulang setiap tahun,” katanya.
Menurut Mohd. Na’im, pihaknya sebelum ini juga telah mengeluarkan sekurang-kurangnya lapan kenyataan media bagi memberi amaran dan maklumat kepada rakyat agar tidak terpedaya dengan tawaran palsu.
“Jadi kita mahu semua masyarakat untuk cakna, dan tidak mudah tertipu dengan sebarang pakej haji yang ditawarkan yang tidak melibatkan Tabung Haji,” katanya. – UTUSAN