PETALING JAYA: Pelari pecut wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli menamatkan aksi final 100 meter (m) di kedudukan terakhir dalam Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, sebentar tadi.
Atlet berusia 32 tahun itu menamatkan lariannya dengan catatan masa 12.01 saat (s) di belakang pelari China, Liang Xiaojing yang memenangi pingat emas selepas melakukan catatan masa 11.37s.
Tempat kedua menjadi milik Veronica Shanti Pereira dari Singapura selepas melakukan catatan masa 11.41s manakala gangsa diraih oleh Tran Thi Nhi Yen dari Vietnam (11.54s).
Sebagai rekod, Zaidatul merupakan pemegang rekod kebangsaan selepas mencatat masa 11.49 saat (s) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata di Stadium Tuanku Syed Putra, tahun lalu.
Catatan masa tersebut sekali gus memadam rekod 11.50s milik bekas pelari pecut negara, G Shanti yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 1993. – UTUSAN