Tengku Zafrul terajui BAM

Tengku Zafrul terajui BAM

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz (tengah), diiringi oleh Bekas Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria (tiga kiri), Timbalan Presiden BAM, Datuk V.Subramaniam (tiga kanan) dan barisan kepimpinan tertinggi BAM bergambar selepas Mesyuarat Agung Tahunan ke-80 Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini hari ini. GAMBAR - AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz secara rasmi dilantik sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang baharu bagi penggal 2025-2029, hari ini.

Beliau dipilih secara sebulat suara tanpa dicabar oleh mana-mana calon bagi mengisi jawatan penting tersebut selepas pemilihan pucuk pimpinan BAM yang dillaksanakan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-80 di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Tengku Zafrul, 52, menggantikan Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria yang melepaskan jawatan No. 1 BAM itu pada tahun lalu bagi memberi fokus kepada tugasnya sebagai Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Kekosongan tempat yang ditinggal Norza telah digalas buat sementara waktu oleh Datuk V. Subramaniam yang memangku tanggungjawab sebagai presiden sehingga AGM diadakan, hari ini.

Sementara itu, bagi jawatan No. 2 iaitu Timbalan Presiden kekal disandang oleh Subramaniam dan Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos yang merupakan Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA).

Bagi jawatan Setiausaha Agung pula, Datuk Kenny Goh dijangka kembali memikul tanggungjawab tersebut sebaik beliau mendapat mandat daripada Tengku Zafrul.

Datuk Teoh Teng Chor dan Mohd Taupik Hussain juga mungkin kembali dilantik ke jawatan masing-masing iaitu sebagai Bendahari serta Penolong Setiausaha Agung.

Dalam pada itu, BAM mengekalkan tradisi melantik 13 presiden persatuan badminton peringkat negeri sebagai naib presiden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN