PETALING JAYA: Pasangan beregu campuran negara, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei mengakui mereka belum cukup matang untuk mengurus tekanan di pentas tertinggi.
Situasi itu dapat dilihat ketika Tang Jie-Ee Wei tewas pasangan China, Feng Yan Zhe–Huang Dong Ping pada aksi suku akhir Piala Sudirman, semalam.
Tang Jie-Ee Wei tumpas 17-21, 18-21 dalam aksi pembukaan, sekali gus gagal memberikan permulaan positif kepada skuad negara yang kemudiannya tewas 0-3 kepada China.
“Saya rasa dalam perlawanan tadi (semalam), ada tiga mata penting yang kami tak mampu atasi. Bila itu berlaku, kita hanya boleh fokus satu demi satu, tapi tetap gagal elakkan kesilapan.
“Itulah puncanya, bila kita hilang fokus pada mata-mata penting, memang susah nak kembali semula. Jadi, jangan hilang arah dalam permainan,” kata Tang Jie.
Semalam, kem negara gagal menembusi kelompok empat terakhir selepas tewas 0-3 kepada China menerusi perseorangan lelaki dan wanita negara, Leong Jun Hao dan K. Letshanaa yang masing-masing dibelasah oleh Shi Yu Qi serta Chen Yu Fei.
Dalam pada itu, Ee Wei pula menyifatkan aksi semalam berlangsung seimbang dari segi corak permainan, namun lawan jauh lebih konsisten dan tidak banyak melakukan kesilapan mudah.
“Perlawanan tadi (semalam) sebenarnya 50-50, mata demi mata, tapi perbezaan ketara adalah dari segi kesilapan kami sendiri. Mereka lebih kemas, itu yang membezakan,” ujar Ee Wei.
Walaupun kecewa gagal menyumbang mata pertama buat Malaysia, Ee Wei tetap menghargai sokongan peminat di dalam dan luar negara sepanjang kejohanan berlangsung.
“Terima kasih kepada semua peminat di Malaysia dan juga yang datang ke stadium. Kami minta maaf tidak dapat sumbang mata pertama, tapi kami akan cuba lagi,” katanya lagi.-UTUSAN