Sze Fei-Izzuddin rasmi beregu No. 1 dunia

Sze Fei-Izzuddin rasmi beregu No. 1 dunia

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani kini sah dinobatkan sebagai pasangan No. 1 dunia dalam senarai ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Sze Fei-Izzuddin mengumpul 91,090 mata untuk merampas kedudukan tersebut daripada Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen dari Denmark yang jatuh ke tangga No. 2 dunia selepas mengutip 90,411 mata.

Menghuni kedudukan No. 3 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengekalkan ranking tersebut selepas muncul naib juara Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, hujung minggu lalu.

Sementara itu, pemenang Malaysia Masters, Man Wei Chong-Tee Kai Wun naik satu anak tangga daripada kedudukan No. 8 ke No. 7 dunia dengan 72,393 mata.

Satu lagi beregu Malaysia, Arif Junaidi-Yap Roy King jatuh satu anak tangga daripada kedudukan ke-22 ke No. 23 dunia dan mereka kini mengumpul 47,030 mata.

Bagi tiga beregu profesional negara pula, Nur Mohd Azriyn Ayub Azriyn-Tan Weei Kiong di tempat ke-28 dunia (42,540 mata), Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di tangga ke-32 dunia (38,060 mata) dan Low Hang Yee-Ng Eng Cheong di kedudukan ke-39 dunia (34,770 mata).

Bagi satu lagi beregu yang berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia iaitu Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri kekal di tempat ke-41 dunia (33,010 mata).

Hon Jian-Haikal yang sebelum ini berada dalam kelompok 20 terbaik dunia mengalami kemerosotan ranking selepas Haikal ditimpa kecederaan sejak Disember lalu dan baru bulan ini mereka melakukan kemunculan semula.

Untuk beregu wanita pula, Pearly Tan-M. Thinaah masih mengekalkan ranking No. 4 dunia selepas mengumpul 82,466 mata, manakala, Go Pei Kee-Teoh Mei Xing juga berada di kedudukan sama iaitu di tangga ke-24 dunia (40,690 mata).

Dalam pada itu, bagi perseorangan lelaki, Lee Zii Jia berada di tangga ke-13 dunia (57,990 mata) dan Leong Jun Hao kekal di kedudukan ke-25 (47,571 mata), manakala, Justin Hoh di tempat ke-45 dunia (33,746 mata).

Selain itu, untuk sektor beregu campuran, Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei berada di kedudukan No. 4 dunia (80,033 mata), manakala, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai yang gagal mempertahankan gelaran di Malaysia Masters jatuh ke ranking No. 5 dunia (76,888 mata) dan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin kekal di tangga ke-14 dunia (55,443 mata).

Bagi perseorangan wanita, Goh Jin Wei berada di tangga ke-48 dunia (32,125 mata) dan K. Letshanaa di tempat ke-51 dunia (31,588 mata). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN