PETALING JAYA: Pasangan profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani membuktikan status beregu No.1 dunia bukan alasan untuk dibuai keyakinan apabila kekal tenang menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi-Yap Roy King 21-13, 21-11 di pusingan kedua Terbuka Singapura, hari ini.
Kemenangan ke atas Arif-Roy King itu juga mengukuhkan rekod bersih mereka dengan tiga kemenangan tanpa kalah ke atas pasangan muda tersebut.
Izzuddin berkata mereka hanya perlu kekal fokus memperbaiki kesilapan mereka biarpun sudah mencapai menjadi beregu lelaki No.1 dunia ketika ini.
“Kami hanya fokus kepada kami punya perlawanan hari ini (semalam) dan hanya mahu berikan yang terbaik. Semua benda pun boleh buat lebih bai, jadi kami masih terus perbaiki diri,” kata Izzuddin.
Cabaran sebenar buat Sze Fei-Izzuddin hadir di suku akhir esok apabila dijadual bertemu gandingan utama India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.
Satwiksairaj-Chirag turut melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan pilihan ketujuh dari Indonesia, Sabar Karyaman Gutama-Moh Reza Pahlevi Isfahani 19-21, 21-16, 21-19 pada aksi pusingan kedua hari ini. – UTUSAN