Sports Flame beri penghormatan kepada legenda hoki negara

Sports Flame beri penghormatan kepada legenda hoki negara

SULTAN Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memotong kek bersama bekas pemain hoki kebangsaan pada majlis sambutan ulang tahun ke-50 pencapaian bersejarah Malaysia di Piala Dunia Hoki 1975.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sports Flame memberi penghormatan kepada legenda sukan negara dalam satu majlis berlangsung di sebuah hotel, di sini, hari ini, sempena sambutan ulang tahun ke-50 pencapaian bersejarah Malaysia pada Piala Dunia Hoki 1975.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mencemar duli berangkat ke majlis penuh nostalgia itu.

Sports Flame diasaskan empat bekas wartawan sukan, George Das, R Velu, Datuk Lazarus Rokk dan Datuk Fauzi Omar yang terus komited dalam usaha mengekalkan serta meraikan khazanah sukan Malaysia, khususnya mereka dari era 1960-an, 70-an dan 80-an.

Edisi kali ini dibawakan oleh agensi perhubungan awam dan penjenamaan sukan, ShekhinahPR yang menjadi penaja rasmi dan penganjur.

Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, Christopher Raj berkata sambutan tersebut lebih daripada sekadar sebuah majlis perjumpaan, malah ia adalah satu penghormatan buat bekas-bekas atlet negara.

“Menjadi satu penghormatan buat kami apabila berpeluang menyaksikan barisan legenda ini berkumpul bersama mengimbas kembali kenangan bersejarah mereka dan pada masa sama usaha ini mampu memberi inspirasi kepada generasi atlet yang seterusnya,” kata Christopher.

Meskipun Malaysia tidak meraih pingat dalam Piala Dunia 1975, skuad kebangsaan tetap berjaya mencuri hati seluruh rakyat Malaysia menerusi semangat juang yang tinggi dan memukau, sekali gus mampu menamatkan kejohanan di tempat keempat di laman sendiri.

Legenda hoki negara, Datuk Poon Fook Loke turut berkongsi kenangan perjalanan pasukan itu sambil mengakui bahawa selepas 50 tahun, beliau menyedari bahawa kemenangan bukanlah segala-galanya.

“Satu perkara yang pasti iaitu ikatan tidak dapat diputuskan. Walaupun sudah lima dekad berlalu, kami kekal berhubung dengan semua yang menjadi sebahagian daripada perjalanan luar biasa ini. Ia satu legasi yang tiada siapa boleh ambil,” katanya.

Selain skuad lelaki 1975, kehadiran beberapa legenda sukan tanah air yang lain turut menyerikan majlis ini, antaranya James Selvaraj, Noraseeela Khalid, Datuk Santokh Singh, Kevin Nunis, serta wakil pasukan hoki wanita Malaysia 1975 antaranya Elizabeth Gomez dan Halimahton Yaaco.

Kesemua mereka pernah memainkan peranan penting dalam mengangkat martabat sukan Malaysia di pentas dunia.

Pertemuan semula ini turut menghimpunkan lebih 160 bekas atlet kebangsaan dari pelbagai sukan seperti boling, ragbi, badminton, berbasikal, bola sepak dan lain-lain yang diraikan dalam satu sambutan yang bukan sahaja meraikan kejayaan silam, tetapi juga mengiktiraf ikatan kekeluargaan yang terbina melalui sukan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN