Sivasangari terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia

Sivasangari terkandas di suku akhir Kejohanan Dunia

S. SIVASANGARI gagal meneruskan kemaraan di Kejohanan Skuasy Dunia 2025.- IHSAN PSA World Tour
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cabaran Malaysia pada Kejohanan Skuasy Dunia berakhir selepas satu-satunya wakil negara, S. Sivasangari tewas kepada wakil tuan rumah, Olivia Weaver pada suku akhir di Chicago, Amerika Syarikat, awal pagi tadi.

Pemain berusia 26 tahun itu yang menghuni ranking No. 9 dunia tewas 3-11, 11-8, 4-11, 5-11 dalam masa 41 minit.

Kegagalan itu juga menyaksikan Malaysia tidak lagi menjadi pencabar utama pada kejohanan berprestij tersebut sejak ratu skuasy negara, Datuk Nicol David bersara pada 2019.

Namun begitu, Sivasangari yang kini pemain No. 1 Malaysia sekurang-kurangnya berjaya mara sejauh suku akhir yang merupakan pencapaian terbaik anak jati Sungai Petani, Kedah itu pada Kejohanan Dunia.

Dia muncul pemain Malaysia pertama berjaya berbuat demikian dalam tempoh lapan tahun, selepas Nicol melakukannya pada 2017.

Weaver sewaktu ditemu bual PSA Squash memuji Sivasangari yang pada hematnya berada pada prestasi terbaik sejak kebelakangan ini.

“Saya tewas kepada Sivasangari di Cincinnati, baru-baru ini, dia merupakan pemain yang memiliki kemahiran dengan raketny, anda perlu berada jauh di tengah gelanggang dan cuba mengambil masanya sebanyak mungkin,” katanya.

Weaver akan bertemu juara dunia tujuh kali, Nour El Sherbini dari Mesir yang sedang memburu gelaran kelapan bagi membolehkannya menyamai rekod yang pernah dilakar oleh Nicol.

Untuk rekod, Nicol masih memegang rekod gelaran dunia terbanyak iaitu sebanyak lapan kemenangan dan kali terakhir ratu skuasy negara itu dinobatkan sebagai juara dunia ialah pada 2014 di Kaherah, Mesir.

Selepas ini, Sivasangari akan mengalihkan fokusnya pula pada Terbuka Britain yang akan berlangsung pada 27 Mei-8 Jun di Birmingham, England. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN