KUALA LUMPUR: Dua penyanyi terkenal Indonesia, Kunto Aji dan Pamungkas, mengakui bahawa sambutan luar biasa peminat tempatan menjadi sebab utama mereka sering kembali membuat persembahan di Malaysia.
Menurut Kunto Aji, 38, peminat Malaysia bukan sahaja penuh semangat, malah benar-benar menghargai muzik secara mendalam.
“Peminat Malaysia seringkali membawa semangat yang luar biasa ketika konsert atau persembahan. Jadi saya sangat senang sekali kembali ke Malaysia,” katanya.
Tambahnya, peminat bukan sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi menghayati mesej dan emosi dalam lagunya.
Dalam pada itu, Pamungkas turut menyifatkan peminat Malaysia sebagai peminat muzik sejati, yang tahu menghargai seni dengan mendalam.
“Sebagai seorang seniman, pengiktirafan tertinggi ialah apabila karya kita dihargai,” katanya ketika ditemui di sidang media pelancaran konsert Latihan Pestapora.
Dia berkata, semangat dan penghayatan itulah yang menjadikan Malaysia istimewa di mata mereka.
Mengulas tentang peluang kolaborasi, Pamungkas tidak menolak kemungkinan untuk bekerjasama dengan artis tempatan.
Namun katanya, kolaborasi itu perlu bermula dengan hubungan sesama manusia yang jujur dan selesa.
“Saya terbuka sahaja untuk kolaborasi, tetapi ia mesti bermula dengan hubungan manusia ke manusia yang serasi. Jadi, yang itu perlu ada dulu, barulah muzik menyusul. Kita boleh lepak dulu, makan nasi Hainan, borak-borak.
“Bila dah ada keserasian dan hubungan baik, muzik akan jadi lebih mudah,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Kunto Aji dan Pamungkas bersama 22 artis lain akan beraksi di festival Latihan Pestapora pada 26 Julai ini.-UTUSAN