KUALA SELANGOR: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan semakan caj konsultasi pegawai perubatan am (GP) swasta akan dimuktamadkan dalam tempoh sebulan.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, kerajaan sedang menyelesaikan isu itu melalui saluran betul dengan mengambil kira kebimbangan semua pihak terutama GP dan pemilik farmasi.
Jelas beliau, memorandum Jemaah Menteri dan surat pekeliling telah disediakan sebelum dijangka dibentangkan dalam tempoh sebulan ini.
“Saya telah menyiapkan memorandum itu dan circular (pekeliling) bagi perkara itu. Jadi, saya harap akan selesai (semakan) selewat-lewatnya sebulan.
“Selepas saya sudah bentang dan mendapat kelulusan, ia akan dilaksanakan kerana Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga bersetuju mengenainya,” katanya pada sidang akhbar program Kembara Tolak Ubat Tidak Sah (TOBaTS) Zon Tengah di sini, hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menuntut agar kadar caj konsultasi GP swasta dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM60.
Presidennya, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira memaklumkan langkah itu bersesuaian dengan mengambil kira kadar yuran sebanyak RM10 hingga RM35 yang tidak berubah lebih 33 tahun, peningkatan kos sepanjang tempoh itu dan kadar inflasi.
Kadar minimum itu juga wajar dan adil, manakala had maksimum perlu berdasarkan kajian dilakukan NACCOL dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
KKM sebelum itu memaklumkan, perkara berkenaan dalam peringkat akhir perbincangan dan semakan bayaran perundingan di bawah Jadual 7 Akta 586 seharusnya dikemas kini bersama Jadual 13 yang dilaksanakan pada penggal pertama 2019.
Mengulas lanjut, kata Dzulkefly, pengamal perubatan dan pihak berkaitan diberi tempoh tiga bulan bagi melaksanakan program pendidikan dan pemahaman mengenai perubahan dasar berkenaan.
“Keputusan menangguhkan pelaksanaan itu dibuat bagi memastikan semua pihak bersedia dan tidak terbeban.
“Transformasi kesihatan primer mesti dilaksanakan secara adil dan telus bukannya untuk menghukum sesiapa. Ia demi kebaikan rakyat dan kelangsungan sistem kesihatan negara,” ujarnya.
Ditanya mengenai cadangan MMA untuk mengadakan bantahan pada Selasa depan, beliau berkata, kementerian bersikap terbuka dan menghormati hak mereka menyuarakan pandangan secara aman.
“Saya telah menerima memorandum daripada MMA dan memahami kebimbangan mereka. Ia terutama berkaitan pelaksanaan Jadual 7 dan keperluan memaparkan harga ubat,” katanya. – UTUSAN