KOTA BHARU: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas sebanyak 4,064 unit rokok elektronik dan cecair vape dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Raja Perempuan Zainab, Kubang Kerian, di sini semalam.
Rampasan dilakukan pada pukul 5.15 petang dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Bharu- Bandaraya Islam (MPKB-BRI) menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, ketika serbuan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 36 tahun yang berada di dalam premis berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan penjualan rokok elektronik.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 4,064 unit cecair dan peranti vape di dalam premis tersebut. Anggaran rampasan keseluruhan bernilai RM284,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred dan Perindustrian (MPKB-BRI) 2019,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN