Regu negara waspada cabaran Nepal

Regu negara waspada cabaran Nepal

TRIO negara Azlan Alias (apitb kanan), Syahir Rosdi (tekong) dan Farhan Adam (apit kiri) ketika beraksi di Piala Dunia Sepak Takraw 2024. GAMBAR- AMIR KHALID.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Skuad negara tidak memandang mudah cabaran Nepal dalam aksi pertama Kumpulan D acara regu pada Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia ASTAF 2025, hari ini.

Ketua pasukan regu negara, Farhan Adam berkata, dia dan rakan-rakan ketika ini dalam ‘mood’ terbaik dan segala persiapan sudah berada di tahap terakhir sebelum turun ke gelanggang.

Selaku pemain paling berpengalaman di dalam pasukan, Farhan berharap rakan sepasukan tidak mengambil mudah perlawanan itu biarpun Nepal bukan lawan sebenar skuad negara.

“Biarpun dua acara sedang berlangsung (beregu dan kuadran), latihan tetap dijalankan bagi memastikan prestasi tidak terjejas bagi menghadapi perlawanan pertama.

“Latihan juga dilakukan bagi memperkemaskan taktikal yang jurulatih inginkan pada kejohanan ini. Bagi saya, kita akan memberi tumpuan kepada pasukan sendiri.

“Saya berharap rakan-rakan tidak ambil mudah cabaran Nepal untuk elak kesilapan yang tidak sepatutnya terjadi. Kami akan cuba yang terbaik untuk meraih kemenangan sulung,” katanya.

Selain itu, Farhan yang beraksi di posisi apit kiri memaklumkan, dirinya mempunyai misi tersendiri pada kejohanan kali ini iaitu melengkapkan kejuaraan dalam kariernya.

“Saya masih ada misi yang ingin dicapai bersama pasukan iaitu ingin menjadi juara regu berpasukan.

“Bila semuanya selesai, baru saya akan fikir mengenai masa depan saya dalam skuad kebangsaan,” jelasnya.

Skuad bimbingan Ahmad Jais Baharun itu diundi dalam Kumpulan D bersama Nepal, Singapura dan Filipina dengan Malaysia dijangka tidak berdepan masalah melepasi peringkat kumpulan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN