Pemandu lori pasir ditahan untuk siasatan

Pemandu lori pasir ditahan untuk siasatan

KEADAAN trak FRU yang terlibat kemalangan dengan lori di Jalan Sungai Lampam di Teluk Intan hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Seorang pemandu lori muatan pasir yang terlibat dalam nahas mengorbankan sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Ipoh di Jalan Chikus-Sungai Lampan di sini hari ini, telah ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr. Bakri Zainal Abidin berkata, ujian saringan air kencing telah dijalankan ke atas lelaki berusia 45 tahun itu dan mendapati negatif dadah.

“Tujuh ujian telah dijalankan ke atas semua jenis dadah dan keputusannya didapati negatif. Suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang meninggal dunia adalah seramai sembilan orang dengan dua anggota dirawat di zon merah manakala tujuh yang lain di zon kuning Hospital Teluk Intan.

“Lapan anggota meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi ketika sedang menerima rawatan. Dakwaan mengatakan 10 anggota telah meninggal dunia adalah tidak benar,” katanya.

Beliau berkata, proses bedah siasat ke atas kesemua anggota itu akan dijalankan pada pukul 2.30 petang.

“Jenazah tujuh anggota beragama Islam akan disembahyangkan di surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum dibawa ke Unit 5 di Sungai Senam untuk penghormatan terakhir bersama jasad dua anggota lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN