Pearly-Thinaah teruskan kemarau kejuaraan Malaysia Masters

Pearly-Thinaah teruskan kemarau kejuaraan Malaysia Masters

PEARLY Tan-M. Thinaah ketika beraksi menentang pasangan China Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian pada aksi separuh akhir Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kemarau gelaran selama 13 tahun dalam saingan beregu wanita masih belum menemui titik noktahnya, namun, beregu No. 1 negara, Pearly Tan-M. Thinaah enggan bersedih terlalu lama ekoran kekalahan pada separuh akhir Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Beregu No. 4 dunia itu tumpas di tangan beregu handalan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 16-21, 21-15, 14-21 dalam masa 1 jam 15 minit.
Pearly berkata, dia tidak mahu terbawa-bawa perasaan kecewa ekoran kekalahan pada separuh akhir Malaysia Masters kerana masih ada kejohanan yang perlu diharungi dalam tempoh dua minggu ini.

“Untuk perlawanan ini, memang kita ada rasa kecewa, tetapi kita takkan sedih terlalu lama sehingga beri kesan kepada kejohanan yang akan disertai selepas ini.

“Kita ada pertandingan berturut-turut, kita sangat teruja dan penting untuk kita mengambil langkah demi langkah, saya berasakan kami telah memberikan yang terbaik dan saling memberi keyakinan di antara kami,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan tamat.

Mengulas pula mengenai kekuatan yang dimiliki beregu China, pemain berusia 25 tahun itu berkata, Yi Fan merupakan pemain yang sangat bagus di belakang gelanggang, selain memiliki gaya yang pelbagai dan sukar untuk membaca corak permainannya.

Katanya lagi, Shu Xian pula merupakan seorang pemain yang memiliki kualiti di hadapan gelanggang dan permainan jaringnya sangat kemas serta agresif.

Ketika ditanya pula mengenai perbezaan permainan mereka ketika bertemu beregu sama sewaktu di New Orleans Masters, Mac lalu, Pearly berkata, keputusannya tetap serupa iaitu mereka kalah kepada Yi Fan-Shu Xian.

“Tetapi satu yang kami meningkat ialah keyakinan yang semakin membaik dan kami harap dapat meneruskan momentum ini.

“Mungkin kami masih tewas dan melakukan kesilapan sama, tetapi, kami cuba mengatasi kelemahan, saya tak tahu berapa lama diperlukan untuk muncul menjadi beregu terbaik, tetapi, kami tidak akan berputus asa,” katanya.

Sewaktu diterjah pula kepada isu kontrak bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM), pemain kelahiran Kedah itu berkata, dia enggan memberi ulasan lanjut mengenai perkara tersebut dan hanya mahu memberi fokus kepada kejohanan dalam tempoh dua minggu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN