KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan tiga anak Datin Seri Pamela Ling Yueh semalam bagi membantu siasatan berhubung kes kehilangan wanita itu sejak 9 April lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, keterangan ketiga-tiga anak Pamela yang terdiri daripada dua perempuan dan seorang lelaki berusia antara 18 hingga 20 tahun diambil di Singapura.
Beliau berkata, berdasarkan keterangan itu, polis mendapati Pamela masih berhubung dengan ahli keluarganya pada 8 dan 9 April lalu.
“Saya ada meneliti keterangan diambil dan mendapati ada perkara-perkara yang boleh membantu siasatan.
“Terutamanya tentang pergerakan terakhir dia lah. Maknanya, pada hari itu, pada 8 dan 9 April dia masih berhubung dengan ahli keluarganya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kesejahteraan Komuniti Bandar Selamat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bestari 2025 di Dewan Serbaguna PPR Desa Rejang di sini, hari ini.
Tambah Rusdi, turut diambil keterangan ialah seorang rakan kepada keluarga Pamela yang berada di Singapura.
“Keempat-empat mereka diambil keterangan di Ibu Pejabat Polis Woodlands di Singapura. Setakat ini, seramai 42 individu telah diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.
Mengulas penahanan suami Pamela Khamis lalu, Rusdi berkata, tangkapan kira-kira pukul 5 pagi di kediamannya di ibu negara dilakukan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Katanya, suami Pamela telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas 24 jam ditahan, namun berkemungkinan akan dipanggil semula sekiranya perlu.
“Dia dibebaskan dengan jaminan selepas kita ada soal siasat, walaupun tidak sepenuhnya kerana reman ditolak.
“Kemungkinan (akan panggil), Tidak ada limit (had), kita belum panggil dia suspek tetapi bila-bila masa boleh dipanggil jika ada perkara baharu,” katanya.
Pada 15 Mei lalu, polis menahan suami Pamela di sekitar Kuala Lumpur bagi membantu siasatan, namun permohonan reman di Putrajaya ditolak mahkamah. – UTUSAN