Mangsa pengabaian berisiko dua kali ganda hadapi masalah

Mangsa pengabaian berisiko dua kali ganda hadapi masalah mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kanak-kanak yang menjadi mangsa pengabaian serta dibesarkan dalam persekitaran negatif berisiko dua kali ganda mengalami masalah mental semasa usia dewasa.

Pakar Kaunseling Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Unishams), Prof. Datin Dr. Sapora Sipon berkata, dapatan itu diperoleh hasil laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang turut mendapati, kanak-kanak yang diabaikan mempunyai perkembangan otak lebih perlahan serta berisiko tinggi kemurungan dan kebimbangan apabila dewasa.

“Apabila anak kecil tidak mendapat kasih sayang dan perhatian, mereka akan rasa tidak selamat dan takut untuk mempercayai orang lain. Apabila besar, mereka mungkin akan jadi murung, suka menyendiri atau terlalu bergantung pada orang lain.

“Semasa remaja, anak mula mencari identiti diri. Jika tiada bimbingan, mereka mungkin membentuk identiti yang salah. Contohnya budak nakal, anak jalanan atau samseng.

“Kajian oleh Institut Sosial Malaysia (ISM) menunjukkan remaja bermasalah lebih banyak datang daripada keluarga yang tidak berfungsi seperti skil keibubapaan yang lemah dan tiada kasih sayang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas laporan akhbar ini tentang kes pengabaian kanak-kanak di negara ini meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu dan kini dilihat mencapai tahap membimbangkan.

Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes pengabaian kanak-kanak pada 2020 berjumlah 1,618 kes meningkat kepada 4,126 kes tahun lalu.

Ditanya mengenai keperluan untuk mewajibkan pendidikan keibubapaan sebagai langkah pencegahan, Sapora bersetuju kerana ia terbukti berkesan di beberapa negara.

“Kalau kita hendak pandai menjadi ibu bapa, sudah tentu kita perlu belajar. Pendidikan keibubapaan amat penting kerana ia boleh mengajar cara untuk mengawal emosi dan memahami keperluan anak,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN