Lelaki didakwa pukul isteri hamil guna getah paip

Lelaki didakwa pukul isteri hamil guna getah paip

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menendang dan memukul isterinya yang sedang hamil, penghujung bulan lalu.

Tertuduh, Daniel Kenneth Abdullah, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menendang kaki kiri dan memukul isterinya menggunakan getah paip pada 30 April, pukul 9.00 malam di kediaman mereka di Bandar Sri Permaisuri di sini. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu manakala Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan dikhuatiri mangsa akan berada dalam ketakutan kerana masih tinggal serumah dengan tertuduh.

Bagaimanapun, Daniel yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan diberikan kerana dia menyesal akan perbuatannya itu dan berjanji akan menjaga dua anaknya masing-masing berumur empat bulan dan setahun. Tertuduh juga memaklumkan isterinya kini sedang hamil.

Mendengar hujah dan rayuan kedua-dua belah pihak, mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 Jun ini untuk serahan dokumen. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya