KUALA LUMPUR: Raja pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, menyifatkan penampilan pertama kuartet baharu negara dalam acara 4×100 meter (m) di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 sebagai satu permulaan yang positif walaupun tanpa persediaan rapi.
Kuartet yang dibarisi Khairul Hafiz bersama Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat masa 40.55 saat (s), sekaligus menamatkan saingan di belakang dua pasukan elit dari Jerman.
Pasukan Jerman A yang diketuai Kevin Kranz, Owen Ansah, Yannick Wolf dan Lucas Ansah-Peprah mendominasi perlumbaan dengan masa 38.26s, diikuti Jerman B (38.84s) yang dibarisi Julian Wagner, Alexandar Askovic, Chdiera Onuoha, Heiko Gussmann dengan catatan masa 38.84s.
Menurut Khairul, kuartet tersebut baru sahaja dibentuk dan hanya sempat menjalani latihan relay kira-kira dua hingga tiga minggu sebelum kejohanan berlangsung.
“Ini merupakan kali pertama kami bergandingan dalam acara 4x100m. Walaupun masih banyak yang perlu diperbaiki terutamanya dari segi teknik pertukaran baton dan keserasian, saya percaya ia adalah langkah awal yang baik,” kata Khairul kepada pemberita selepas perlumbaan di Stadium Merdeka, hari ini.
Dalam pada itu, Khairul turut menyatakan harapan agar kombinasi yang ada ketika ini dapat diperkemas dan terus diberi peluang beraksi dalam kejohanan seterusnya sebagai persiapan temasya Sukan SEA di Thailand, hujung tahun ini.
“Memang kita mengharapkan (gandingan ini) dapat ke layak ke Sukan SEA. Yang penting kita dapat kekalkan pingat kita. Empat pelari ini bersama Muhammad Azeem Mohd Fahmi kita ada lima orang pelari utama.
“Sebab dalam relay ini kita ada lima ke enam orang pelari. Sekiranya berlaku kecederaan pasukan kami kekal kukuh,” katanya.
Sementara itu, kuartet wanita negara turut mencatat keputusan membanggakan apabila meraih pingat perak dalam acara 4x100m dengan catatan 45.50s, tewas kepada skuad Jerman B yang merekodkan 43.43s.
Pasukan kebangsaan terdiri dibarisi oleh Azreen Nabila Alias, Zaidatul Husniah Zulkipli, Nur Afrina Batrisyia dan Izzatul Musfirah Ahmad Kamal, manakala tempat ketiga diraih pasukan Kuala Selangor Team dengan catatan 58.61s. – UTUSAN