Kerajaan Perak agih 436 lembu korban kepada 59 DUN - Utusan Malaysia

Kerajaan Perak agih 436 lembu korban kepada 59 DUN

SAARANI Mohamad (tengah) menyampaikan replica cek dan trofi kepada pemenang Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan Perak meneruskan tradisi tahunan sempena Aidiladha dengan mengagihkan sebanyak 436 ekor lembu korban kepada semua 59 Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan itu merupakan usaha bersama dan komitmen tanggungjawab sosial korporat oleh syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Perak.

Tambahnya, GLC terlibat ialah Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC), Perbadanan Menteri Besar (MB Inc), Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk), Lembaga Air Perak (LAP) serta Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak (SSI).

Jelasnya, bagi memastikan agihan yang adil dan menyeluruh, setiap DUN akan menerima sekurang-kurangnya enam ekor lembu korban, termasuk kawasan yang diwakili oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam.

“Agihan lembu korban ini turut melibatkan masjid dan surau, pasukan keselamatan, persatuan-persatuan serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) terpilih di seluruh negeri.

“Seperti pelaksanaan sebelum ini, lafaz akad korban bagi kawasan DUN yang diwakili ADUN beragama Islam akan disempurnakan oleh ADUN terbabit atau wakilnya,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada menteri Majlis Anugerah Desa Sejahtera dan Anugerah Sejati Madani Negeri PerakTahun 2024 di sini hari ini.

Kata Saarani, bagi kawasan yang diwakili ADUN bukan beragama Islam pula, Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah akan melaksanakan proses akad mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Katanya, dalam memastikan pelaksanaan ibadah korban selari dengan kehendak syarak, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri akan mengedarkan garis panduan pelaksanaan khusus, terutama berkaitan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak terlibat.

“Pelaksanaan ibadah korban ini juga akan dilaksanakan berpandukan peraturan dan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Perak serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar, bagi menjamin kelancaran dan pematuhan dari segi syarak dan kesihatan awam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN