PETALING JAYA: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Anak Rigan menamatkan saingan di tempat ke-10 daripada 12 peserta dalam Kejohanan Olahraga Asia (ATF) di Gumi, Korea Selatan, sebentar tadi.
Bagaimanapun, Jonah masih boleh berbangga apabila dia berjaya memperbaiki catatan peribadi terbaiknya musim ini selepas melakukan lontaran 18.05 meter (m).
Pingat emas dimenangi oleh atlet Iran, Mohammadreza Tayebiseifkoti yang melakukan lontaran 20.32m manakala perak menjadi milik Xing Jialiang dari China dengan catatan 19.97m dan gangsa diraih oleh Mohammed Daoud Tolu dari Arab Saudi (19.92m).
Dalam pada itu, kuartet 4x400m lelaki negara yang dibarisi oleh Anas Ariffin, Luqmanul Hakim Khairul Akmal, Umar Osman dan Muhammad Sayyid Amin menamatkan saingan di kedudukan ketujuh dengan catatan masa 3 minit 14.55 saat (s).
Pingat emas dimenangi kuartet dari Qatar yang melakukan catatan masa 3:03.52s manakala perak milik India dengan 3:03.67s dan gangsa diraih oleh China (3:03.73s).
Sementara itu, nasib yang sama turut menimpa atlet lempar cakera wanita negara, Queenie Ting apabila menamatkan saingan di kedudukan kelapan daripada 10 peserta yang mengambil bahagian.
Pemenang pingat perak Sukan SEA 2023 itu melakukan enam percubaan dengan dua daripadanya dibatalkan dan 47.96m menjadi catatan terbaiknya di kejohanan tersebut.
Pingat emas dimenangi oleh wakil China, Feng Bin yang sebelum ini meraih perak di Sukan Olimpik Paris 2024 selepas melakukan 61.90m manakala tempat kedua menjadi milik Subenrat Insaeng dari Thailand (57.68m) dan gangsa diraih oleh Nanaka Kori dari Jepun (56.48m). – UTUSAN