PETALING JAYA: Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan dominasi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) bukan alasan untuk pasukan lain merungut, sebaliknya mereka perlu bangkit dan bersaing secara profesional.
Tunku Mahkota Ismail turut menyifatkan dakwaan kononnya liga tempatan ‘sudah mati’ kerana Harimau Selatan terlalu mendominasi Liga M sebagai satu sikap yang tidak sihat dan mencerminkan mentaliti lemah dalam kalangan segelintir pihak.
“Ia bukan sekadar tentang penyertaan. Ia sentiasa tentang penguasaan dan peningkatan sejak dari awal lagi,” kata Tunku Mahkota Ismail yang juga merupakan pemilik JDT di media sosialnya.
Tunku Mahkota Ismail turut mempersoalkan sejauh mana keberkesanan kempen serta propaganda yang dimainkan oleh sesetengah pihak yang cuba memburukkan imej JDT dan memberi gambaran buruk terhadap pembangunan bola sepak negara.
“Satu persoalan, dengan segala propaganda dan kempen yang mereka buat selama ini, apakah perubahan dan perbezaan yang mereka telah capai? Kosong!
“Sedangkan kami terus berkembang, bertambah baik dan meningkat ke tahap yang lebih tinggi setiap tahun,” tegas Tunku Ismail.
Menurut Tunku Mahkota Ismail, JDT tidak akan mampu mencipta kejayaan di peringkat Asia jika hanya bersandar kepada mentaliti mengalah sebelum berjuang, sedangkan banyak pasukan lain mempunyai bajet lebih besar namun tidak mampu menyaingi prestasi kelab dari selatan tanah air itu.
“JDT juga tidak akan mampu bersaing di pentas Asia jika kita memiliki mentaliti seperti itu, kerana bajet kita jauh lebih rendah berbanding banyak pasukan lain, termasuk dari Asia Timur namun kita masih mampu menamatkan saingan di tempat ketiga daripada 12 pasukan pada musim ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan rungutan segelintir ‘pesaing’ yang tidak mampu menyaingi JDT sebagai alasan semata-mata untuk menutup kelemahan sendiri.
“Lucu apabila segelintir ‘pesaing’ kami sering merungut dan mengadu kononnya mereka tidak dapat bersaing dengan kami, sehingga menghasut bahawa semua pasukan patut tarik diri dan kononnya liga ini sudah mati.
“Kita tidak lihat mentaliti sebegini dalam liga-liga lain walaupun ada pasukan yang jauh lebih mendominasi berbanding kelab lain. Ini memalukan dan negara jiran seperti Thailand serta Indonesia juga nampak jelas mentaliti bola sepak di Malaysia jika tak mampu bersaing, lebih baik tarik diri.
“Sepatutnya kita mendesak pasukan-pasukan kita untuk bangkit, lebih profesional dan bersaing dengan kemampuan mereka,” tegas baginda.-UTUSAN