KUALA LUMPUR: Cuaca panas tidak menghalang orang ramai menyertai Himpunan Melayu Berdaulat di hadapan pusat beli-belah Sogo, di sini hari ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati, orang ramai mula berkumpul seawal 1.30 tengah hari tadi.
Himpunan bermula dengan laungan takbir daripada pelbagai lapisan masyarakat tanpa mengira umur.
Kehadiran peserta berpakaian putih di hadapan pusat beli-belah itu bagi menyatakan solidariti terhadap isu yang didakwa mengancam hak bumiputera dan kedudukan Islam.
Setakat pukul 3 petang, dianggarkan ratusan individu berkumpulan di hadapan pusat beli belah itu untuk mendengar ucapan pihak penganjur berhubung isu-isu semasa.
Antara isu disentuh termasuk isu undang-undang, bangsa Melayu, agama, dan lain-lain isu semasa yang berkaitan.
Lebih 10 penceramah mewakili pertubuhan hak Melayu tampil menyuarakan pandangan mereka di perhimpunan itu.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali menyifatkan Himpunan Melayu Berdaulat sebagai luahan kekecewaan orang Melayu terhadap pelbagai isu semasa sejak beberapa tahun kebelakangan.
“Saya anggarkan lebih 5,000 yang hadir hari ini. Ramai dapat berucap dan melepaskan kekecewaan mereka terhadap isu-isu semasa yang terbuku sejak sekian lama.
“Ini bukan sekadar himpunan politik, tapi luahan orang Melayu yang makin hari makin tertekan dengan perkembangan semasa,” katanya selepas perhimpunan itu berlangsung.
Beliau turut membidas pihak yang mendakwa perhimpunan itu sekadar retorik, dengan menyifatkan mereka sebagai pengkhianat bangsa.
Menyentuh isu pembangunan semula bandar dan kebimbangan terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA), beliau mendakwa draf RUU itu tidak memberi ruang secukupnya kepada suara Melayu.
“Dalam barisan pakar URA yang disenaraikan dalam laman web Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), hanya enam atau tujuh orang Melayu daripada 28 ahli.
“Siapa sebenarnya yang buat keputusan bentuk bandar kita? Bukan orang Melayu. Itu sebab kita risau,” katanya.
Keadaan di lokasi tenang dan terkawal dengan kehadiran sejumlah pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menjaga keselamatan awam. Peserta perhimpunan bersurai secara aman kira-kira pukul 4.30 petang. – UTUSAN