KUALA LUMPUR: Kira-kira 5,000 keping tiket telah dijual untuk aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Cape Verde di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, malam ini.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding kapasiti penuh stadium yang boleh menampung 20,000 penonton, sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman menjelaskan bahawa FAM hanya memperuntukkan 10,000 tiket bagi perlawanan itu.
Katanya, perancangan itu dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk hari perlawanan yang berlangsung pada hari bekerja.
“Perlawanan ini diadakan pada hari Rabu, jadi kita jangka sambutan akan sedikit perlahan kerana ramai yang masih bekerja,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.
Beliau turut memaklumkan bahawa FAM menjalankan promosi sewajarnya, namun mengakui faktor masa dan lawan yang kurang popular menjadi cabaran dalam menarik jumlah kehadiran lebih tinggi.
“Cape Verde bukan pasukan yang dikenali ramai, jadi dari segi tarikan, ia berbeza jika dibandingkan dengan perlawanan bertaraf kejohanan atau menentang pasukan ternama,” tambahnya.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan perkarangan Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur sekitar pukul 6 petang tadi agak suram dan kaunter jualan tiket juga lengang.
Situasi ini berbeza berbanding perlawanan antara Manchester United dan ASEAN All-Stars semalam yang berjaya menarik kehadiran puluhan ribu penyokong.-UTUSAN