KUALA LUMPUR: Anak keempat kepada penyanyi legenda, Datuk M. Nasir, Syafii Nasir mengakui bapanya sering menegur dan mengkritik hasil karyanya, namun tidak pernah menentukan haluan kerjayanya sebagai penyanyi.
“Dia banyak bagi kritikan terhadap apa yang kami buat, tapi dia tak pernah tentukan apa yang kami patut buat. Dia cuma bagi pandangan berdasarkan pengalaman dia,” katanya ketika ditemui di Sesi Pra-Dengar Album Ramayan.
Tambah vokalis kumpulan Ramayan itu, bapanya turut berpesan bahawa muzik ciptaan mereka mungkin sukar diterima dalam pasaran tempatan.
“Ayah selalu cakap benda yang sama. Orang kita belum cukup pendedahan dengan lagu-lagu sebegini dan benda ini akan ambil masa atau mungkin tak akan diterima masyarakat kita,” katanya.
Namun begitu, Syafie memegang nasihat bapanya untuk sentiasa meletakkan elemen pop dalam apa jua jenis lagu yang dihasilkannya.
“Ayah saya cakap daripada awal apa-apa pun buat lagu, lagu kau kena buat pop. Tak kisah kalau hip-hop atau genre-genre yang berat, lagu tu kena ada pop melodi.
“Sebab orang kita ni pentingkan melodi, semua benda nak kena ada penyanyi. Bila tak ada penyanyi mereka rasa kosong, mereka akan rasa macam kenapa lama sangat.
“Jadi saya cuba untuk pentingkan apa yang ayah saya pesan. Waktu sebelum ni saya pentingkan muzik daripada element pop, sekarang kami pentingkan element pop tu lebih dari muzik,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ramayan akan melancarkan album kedua berjudul ‘Ini Adalah Ujian Transmisi’ dengan memuatkan sebanyak 11 buah lagu.
Terdahulu, Ramayan ialah band neo-psikedelik yang ditubuhkan pada tahun 2014 dan mempunyai empat orang ahli iaitu Shafii Nasir, Omar Saifuddin, Naquiyuddin Azeem dan Izzat Latif.-UTUSAN