PETALING JAYA: Cadangan penubuhan Dana Kesihatan Nasional dan hala tuju transformasi sistem pembiayaan kesihatan merupakan antara komponen utama dalam reformasi sistem kesihatan negara yang sedang dilaksanakan secara berfasa.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan itu penting untuk memastikan sistem kesihatan awam kekal mampan, terangkum dan adil kepada rakyat terutama untuk generasi akan datang.
“Saya menyambut baik perbincangan mengenai penubuhan Dana Kesihatan Nasional serta hala tuju transformasi sistem pembiayaan kesihatan dalam Mesyuarat Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) ke-8 pagi ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut disertai oleh beberapa menteri Kabinet serta pegawai kanan kerajaan.
“Saya amat menghargai kepemimpinan berwawasan Perdana Menteri dalam mengangkat agenda reformasi ini yang amat penting bagi memperkukuh sistem kesihatan negara,” ujarnya.
Pada masa sama, Kementerian Kesihatan juga menyatakan sokongan penuh terhadap Rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan 2025-2045 yang dibentangkan dalam mesyuarat berkenaan.
“Rangka tindakan ini merupakan langkah awal kesiapsiagaan negara dalam menangani cabaran masyarakat menua secara bersepadu dan menyeluruh,” katanya.-UTUSAN