PETALING JAYA: UMNO tidak boleh terus-menerus menjadi ‘pak turut’ kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17, kerana pengalaman lalu menunjukkan parti itu sentiasa dipinggirkan walaupun memenangi banyak kerusi.
Felo Penyelidik, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof. Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, suara majoriti Ketua UMNO Bahagian Sabah yang menolak kerjasama dengan GRS adalah manifestasi penolakan terhadap layanan tidak adil.
Katanya, Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat perlu menghormati autonomi politik UMNO Sabah kerana realitinya parti itu memiliki akar umbi paling kukuh di kawasan pedalaman dan pantai timur Sabah.
“Perbezaan pendirian antara UMNO Sabah dan BN Pusat mencerminkan konflik strategik yang berpunca daripada pengalaman lampau, khususnya pengkhianatan politik selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GRS menyokong parti lawan.
“Jika kerjasama perlu diteruskan, ia mestilah bersyarat dengan jaminan agihan kerusi dan peranan dalam kerajaan negeri yang setimpal,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Baru-Baru ini, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo pada PRN selepas BN dan Pakatan Harapan (PH) memuktamadkan untuk berkerjasama.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, pihaknya sedia memfokuskan kerjasama dengan parti tempatan lain yang lebih memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas.
Disoal keyakinan GRS untuk bergerak solo semasa PRN, Awang Azman berkata, GRS barangkali terlalu yakin dengan sentimen tempatan, sedangkan landskap politik Sabah sudah berubah pasca PRN 2020.
“Kemenangan 38 kerusi DUN Sabah semasa PRN 2020 bukan semata-mata hasil kekuatan GRS, tetapi hasil kerjasama erat dengan parti-parti Semenanjung seperti BN dan Perikatan Nasional (PN) ketika itu.
“GRS belum tentu mampu menang majoriti dua pertiga jika tidak melibatkan parti-parti besar nasional seperti UMNO-BN dan PH, terutamanya di kawasan majoriti Bumiputera Islam dan Cina.
“Oleh itu, naratif GRS tidak perlukan gabungan dari Semenanjung mungkin lebih bersifat populis daripada realistik,” jelasnya.
Sementara itu, Pensyarah Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Lee Kuok Tiung berkata, setakat ini, GRS bukan menolak kerjasama dengan mana-mana parti tetapi semua pihak belum ada keputusan muktamad berkenaan bentuk kerjasama menjelang PRN.
Bagaimanapun, katanya, GRS dilihat akan menjadi peneraju dalam rundingan kerjasama politik menjelang PRN Sabah.
“Apa yang jelas, terdapat pertindihan antara kerusi tradisi UMNO dan GRS, menjadikan usaha untuk menjalin kerjasama tanpa pertembungan kepentingan di kerusi yang sama sesuatu yang sukar dicapai,” katanya.