Aslam, Marissa lega urusan pengesahan nikah selesai

Aslam, Marissa lega urusan pengesahan nikah selesai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, kes kami sudah selesai.” Demikian kata suami kepada pempengaruh, Marissa Dania Hakim, Ahmad Aslam Kasyfun Nazir Rashid usai prosiding siasatan permohonan pengesahan nikah yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Aslam, perkahwinannya bersama Marissa secara dasarnya sudah sah sejak 27 Disember 2023, namun prosiding yang dilalui hari ini hanyalah untuk mendapatkan pengesahan mahkamah mengikut undang-undang Malaysia.

“Mahkamah juga sudah mengesahkan pernikahan kami sah. Alhamdulillah, semuanya sudah selesai.

“Saya tidak ada apa-apa lagi yang mahu katakan. Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih banyak-banyak,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, peguam yang mewakili pasangan sensasi itu iaitu Muhammad Ammar Yaser berkata, kedua anak guamnya perlu mendaftarkan perkahwinan mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) selepas mendapat pengesahan daripada Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat.

“Alhamdulillah, mahkamah telah meluluskan permohonan anak guam saya mengikut seksyen 23 (1A) iaitu pernikahan poligami luar negara tanpa kebenaran.

“Dokumen pernikahan di Thailand juga sudah disahkan oleh mahkamh. Jadi, pernikahan mereka adalah sah mengikut hukum syarat dan undang-undang dan boleh didaftarkan.

“Selepas selesai proses ini mereka perlu daftarkan pernikahan pada bila-bila masa dalam kadar segera di JAWI,” jelasnya.

Pada 5 Mei lalu, pasangan itu hadir di mahkamah sama untuk menjalani prosiding pengesahan nikah namun terpaksa ditangguhkan kerana mengalami masalah teknikal pada borang permohonan.

Terdahulu, nama Marissa menjadi bualan ramai selepas bernikah dengan Aslam di Songkhla, Thailand pada 27 Disember 2023.

Pasangan terbabit dikatakan mendirikan rumah tangga tanpa pengetahuan isteri pertama Aslam iaitu Misya Mazlan yang ketika itu sedang menunaikan umrah.

Pernikahan tersebut juga berlangsung tanpa pengetahuan keluarga Marissa, termasuk ibu dan bapanya iaitu pelakon, Norman Hakim dan Abby Abadi.

Untuk rekod, Aslam mendirikan rumah tangga dengan Umisya Mazlan pada Julai 2020 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Hud, 4, Nuh, 3 dan seorang bayi perempuan yang kini berusia dua bulan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN