PUTRAJAYA: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyifatkan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh selaku bekas Peguam Negara telah menjalankan peranannya selaras fungsi perlembagaan jawatan itu.
AGC menerusi kenyataan hari ini berkata, dakwaan kononnya Ahmad Terrirudin mengelirukan mahkamah adalah tidak berasas dan ia sedang diteliti badan kehakiman tertinggi negara.
Menurutnya, isu dibangkitkan dalam permohonan kebenaran komital Datuk Seri Najib Razak kini merupakan subjek rayuan yang masih belum diputuskan di Mahkamah Persekutuan, yang ditetapkan untuk pendengaran pada 1 dan 2 Julai ini berkaitan permohonan semakan kehakiman.
“Isu yang dijadikan asas kepada permohonan komital akan dihujahkan secara menyeluruh dalam prosiding rayuan terbabit.
“Mahkamah Tinggi pada 28 April lalu telah membenarkan penangguhan terhadap semua prosiding (semakan kehakiman bersabit Titah Adendum) sehingga keputusan rayuan diselesaikan oleh Mahkamah Persekutuan.
“Pada 22 Mei lalu, Mahkamah Tinggi turut mengesahkan secara bertulis bahawa penangguhan berkenaan meliputi semua prosiding sedia ada dan akan datang yang berkaitan dengan kes semakan kehakiman, termasuk prosiding penghinaan mahkamah,” katanya.
Jelasnya lagi, sebarang cubaan untuk memulakan atau meneruskan prosiding penghinaan ketika perintah penangguhan masih berkuat kuasa merupakan satu tindakan langsung melanggar perintah mahkamah dan menjejaskan pentadbiran keadilan yang teratur.
Justeru, katanya, Jabatan Peguam Negara tidak akan teragak-agak untuk memohon supaya permohonan tersebut diketepikan sebagai satu penyalahgunaan proses mahkamah.
“Tindakan untuk memulakan prosiding komital sementara rayuan ini masih berjalan adalah tidak wajar, pramatang, dan prejudis,” menurut kenyataan itu.
AGC turut menggesa semua pihak membenarkan Mahkamah Persekutuan meneliti dan memutuskan isu perundangan dan fakta yang dikemukakan tanpa tekanan, spekulasi atau tindakan luar yang boleh mengganggu perjalanan keadilan.
Menurutnya, keadilan mesti ditegakkan mengikut kerangka kedaulatan undang-undang, bukan melalui kenyataan awam atau litigasi selingan.
Kenyataan dikeluarkan AGC hari ini merujuk kepada permohonan kebenaran menghina mahkamah dikemukakan Najib kerana mendakwa Ahmad Terrirudin ketika menjawat jawatan itu dengan sedar dan sengaja mengarahkan atau menyebabkan hujahan yang tidak benar dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi.
Hujah berkenaan bersabit permohonan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum.
Pada 28 April lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan semua pendengaran membabitkan semakan kehakiman Najib berhubung Titah Adendum di mahkamah itu ditangguhkan sehingga rayuan Peguam Negara didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan. – UTUSAN