PETALING JAYA: Sergio Aguero mengakui peluang berdepan kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United adalah impian yang menjadi kenyataan.
Pemain naturalisasi kelahiran Argentina itu, yang membantu Sri Pahang muncul naib juara Piala Malaysia musim 2024/2025 tersenarai dalam skuad ASEAN All Stars iaitu pasukan pilihan dari Asia Tenggara yang bakal berdepan Red Devils dalam perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini.
Selain Aguero, empat lagi pemain tempatan turut dipanggil menyertai skuad berprestij itu iaitu Azam Azmi Murad (Terengganu), Adib Abdul Ra’op (Penang), Haziq Nadzli (Perak) dan Declan Lambert (KL City), menjadikan penyertaan Malaysia dalam perlawanan itu sesuatu yang membanggakan.
Menurut Aguero, peluang ini bukan sekadar satu perlawanan berprofil tinggi, tetapi merupakan pencapaian peribadi dalam kerjayanya dan detik membanggakan dalam mewakili negara.
“Ia satu penghormatan yang luar biasa untuk dipilih dalam perlawanan bersejarah ini. Beraksi menentang salah satu kelab terbesar dunia, bersama pemain terbaik dari rantau ini, adalah impian yang menjadi kenyataan.
“Apa yang menjadikannya lebih istimewa adalah peluang untuk mewakili Malaysia di pentas ini. Tiada yang lebih membanggakan daripada membawa nama Malaysia di hadapan ribuan penyokong sendiri,” katanya.
Perlawanan itu bakal menjadi pentas ujian buat pemain-pemain ASEAN untuk memperagakan aksi terbaik menentang skuad kendalian Rubin Amorim yang dijangka membawa beberapa nama besar dalam pasukan.
Difahamkan, tiket bagi beberapa kategori perlawanan sudah habis dijual hanya dalam tempoh beberapa hari selepas pembukaan jualan sekali gus menggambarkan betapa tingginya sambutan peminat bola sepak tempatan dan antarabangsa terhadap aksi ini.
Bagi Aguero, perlawanan ini bukan sekadar aksi persahabatan, sebaliknya adalah peluang untuk membuktikan kemampuan pemain Asia Tenggara setanding dengan bintang dunia, sekali gus membuka mata pihak luar terhadap potensi besar pemain dari rantau ini.
“Saya percaya, dengan semangat dan disiplin yang tinggi, kita mampu beri tentangan hebat. Ini bukan hanya perlawanan, tetapi simbol semangat bola sepak ASEAN yang kini semakin menyerlah di peringkat global,” ujarnya.-UTUSAN