Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah tempah slot suku akhir

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah tempah slot suku akhir

AARON Chia-Soh Wooi Yik menewaskan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han 21-13, 21-16 pada aksi pusingan kedua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik terus konsisten memburu gelaran ketiga dan kali ini di laman sendiri selepas mara ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Beregu lelaki No. 3 dunia itu yang juga merupakan juara Asia tidak menghadapi masalah menyingkirkan pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han yang menghuni ranking ke-21 dunia 21-13, 21-16 dalam masa 39 minit pada pusingan kedua.

Prestasi konsisten yang dipamerkan Aaron-Wooi Yik menyaksikan ranking dunia mereka turut melonjak naik, tetapi, Aaron berkata, dia tidak terlalu memberi perhatian kepada ranking, malah, sebaliknya lebih berminat mengejar gelaran.

“Bagi saya ranking No. 1 dunia hanya memberi kelebihan kecil buat kita, bukan main peranan sangat penting dalam persaingan beregu lelaki.

“Kami pernah berada di kedudukan No. 2 dunia, hanya No. 1 tak pernah, tapi, itu bukan sasaran utama kami kerana kalau diberi pilihan menang gelaran lagi penting,” katanya yang merangkul gelaran Terbuka Thailand, minggu lalu.

Pada suku akhir, esok, Aaron-Wooi Yik bakal menghitung pertemuan dengan pasangan ke-16 dunia, Rasmus Kjaer-Federik Sogaard dari Denmark.

PEARLY Tan-M. Thinaah menewaskan pasangan Hong Kong, Fan Ka Yan-Yau Mau Ying 21-17, 21-16 pada aksi pusingan kedua Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. – UTUSAN/ISKANDAR ISHAK

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah melakar kemenangan straight set ke atas pasangan ke-85 dunia, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad dari Thailand 21-13, 21-15 dalam masa 36 minit.

Pada suku akhir, gandingan No. 4 dunia itu bakal bertemu beregu Indonesia yang berada di ranking ke-9 dunia, Febriana Dwipuji Kusuma-Amalia Cahaya Pratiwi.

Ketika ditemui pemberita, Thinaah dalam nada berterus terang tidak berpuas hati dengan keseluruhan persembahan mereka pada pusingan kedua.

“Masih ada ruang untuk diperbaiki terutama fokus kami dalam permainan, jadi, saya rasa kelemahan ini perlu kami teliti dan bersedia untuk pertemuan, esok,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu berkata, dia terlalu terbawa-bawa sewaktu sedang mendahului selesa dan sepatutnya dalam situasi tersebut tumpuan lebih perlu diberikan.

Mengulas pula mengenai beregu Indonesia yang bakal temui di suku akhir, Pearly pula berkata, dia dan Thinaah sesekali tidak akan memandang mudah cabaran lawan mereka itu, justeru, amat penting untuk mereka berbincang dengan jurulatih terlebih dahulu.

Sementara itu, nasib berbeza mengiringi Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri yang terkandas di peringkat 16 terbaik selepas kecundang di tangan beregu Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi 14-21, 13-21 dalam masa 35 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN