Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah ke pusingan kedua Malaysia

Aaron-Wooi Yik, Pearly-Thinaah ke pusingan kedua Malaysia Masters

AARON Chia-Soh Wooi Yik ketika menentang pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin pada aksi pusingan pertama Malaysia Masters 2025 di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Pearly Tan-M. Thinaah melepasi halangan awal selepas menundukan pencabar masing-masing di peringkat 32 terbaik pada Kejohanan Badminton Malaysia Masters di Axiata Arena, Bukit Jalil, hari ini.

Beregu lelaki No. 3 dunia, Aaron-Wooi Yik menewaskan pasangan ke-17 dunia, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin dari Taiwan 21-18, 21-16 dalam masa 39 minit.

Pada pusingan kedua, esok, Aaron-Wooi Yik yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Terbuka Thailand, minggu lalu, bakal berdepan satu lagi pasangan Taiwan, Liu Kuang Heng-Yang Po Han yang menghuni ranking ke-21 dunia.

Aaron berkata, dia berasa lega kerana masih dapat bermain baik, walaupun kurang rehat selepas pulang daripada Thailand.

“Kami baru habis menyertai kejohanan, minggu lepas dan saya berasa okay, cuma mungkin rehat kurang sikit.

“Kami bermain tadi mengikut strategi yang diatur dan semua berjalan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan berakhir.

Mengulas mengenai pencabar di pusingan kedua, Wooi Yik pula berkata, esok, dia dan Aaron dijadual bertemu dengan beregu Taiwan lagi.

“Kami belum pernah bertemu dengan mereka, kami cuma berharap dapat memberikan yang terbaik.

“Kami tidak pernah anggap semua lawan kami mudah dan bagi saya setiap beregu mempunyai kekuatan masing-masing,” katanya.

Kata Wooi Yik lagi, apa yang paling penting ialah percaya kepada percaturan jurulatih dan cuba memberikan yang terbaik.

Sementara itu, dalam saingan beregu wanita, pasangan No. 4 dunia, Pearly-Thinaah mengetepikan Fan Ka Yan-Yau Mau Ting dari Hong Kong 21-17, 21-16 dalam masa 37 minit.

Beregu ke-85 dunia, Pichamon Phatcharaphisutsin-Nannapas Sukklad dari Thailand menanti pasangan No. 1 Malaysia itu di peringkat 16 terbaik.

Pearly ketika ditemui pemberita berkata, mereka bermula agak perlahan pada set pertama, tetapi, selepas beberapa ketika barulah kembali mendapat rentak seperti biasa.

Ketika ditanya pula perbezaan bermain di luar negara dan di laman sendiri, kata pemain berusia 25 tahun itu, jika beraksi di luar dia tidak mengambil kisah apa yang berlaku di sekeliling.

“Tetapi jika bermain di laman sendiri suasananya sangat berbeza kerana bunyi sorakan penyokong telah memberi motivasi untuk kami bermain lebih baik,” katanya.

Dalam satu lagi pertemuan membabitkan beregu muda wanita Malaysia, Ho Lo Ee-Amanda Yap tewas kepada Chen Yan Fei-Sun Liang Ching dari Taiwan 6-21, 19-21 dalam masa 30 minit. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN