65 saksi bicara penculikan lelaki Palestin

65 saksi bicara penculikan lelaki Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 65 orang saksi akan dipanggil memberi keterangan berkait dengan kes penculikan warga Palestin, Omar Z. M. Albelbaisy yang akan bermula pada Julai ini di Mahkamah Tinggi di sini.

Jumlah itu membabitkan 30 saksi bagi kes culik manakala baki 35 orang adalah bagi kes pengubahan wang haram.

Perkara itu dimaklumkan oleh pasukan pendakwaan yang dikendalikan dua Timbalan Pendakwa Raya, Harvind Raja Gopal dan Rozialana Zakaria ketika sebutan kes itu di hadapan Hakim K. Muniandy.

“Bagaimanapun pernyataan saksi bagi semua saksi itu masih di peringkat persediaan. Kami akan memberi senarai nama saksi-saksi itu kepada barisan peguam yang mewakili semua tertuduh, dua minggu lagi,” kata Harvind. 

Selain itu, Rozialana memberitahu bagi pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi oleh tiga tertuduh daripada 14 tertuduh yang didakwa menculik lelaki Palestin itu akan turut membabitkan pegawai bank. 

“Pernyataan saksi adalah membabitkan pegawai bank dan ia akan disediakan sebelum perbicaraan berlangsung,” kata Rozalina.

Selepas mendengar perkara itu, mahkamah menetapkan 23 Mei ini untuk pengurusan kes seterusnya dan mengecualikan kehadiran bagi kesemua tertuduh.

Perbicaraan bagi kes penculikan warga Palestin dan pengubahan wang haram akan didengar secara bersama-sama di hadapan Hakim Muniandy pada 7 sehingga 11 Julai depan. 

Kesemua tertuduh diwakili oleh peguam bela, Norma Goh Kim Lian, Adi Zulkarnain Zulkafli, Simran Kaur and Muhammad Amin Abdullah.

Pada 28 November 2024, Mahkamah Tinggi di sini telah membenarkan semua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 dengan dua penjamin setiap seorang.

Mengikut pertuduhan, 14 tertuduh itu didakwa secara niat bersama menahan Omar untuk mendapat ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan bagi menggodam telefon bimbit.

Mereka terdiri daripada Mohamad Norakmal Hassan, 43; Dody Junaidi, 44; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41; Mohamad Naziree Mustapha, 41; Faizull Hardey Mohd Isa, 42; Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 27; Mohamad Sufian Saly, 25; Tengku Hazarul Ismail Tengku Hamid, 51 dan Mohd. Azwan Jamaludin, 39.

Tertuduh lain ialah  Mohd Zaidi Mohd Zain, 56; Muhammad Al Hatim Mohd. Fauzi; 25, dan Edy Ko’im Said, 42.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Mayang di sini pukul 10.40 malam, 28 September 2022 yang mana pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 30 tahun sehingga maksimum 40 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara tiga lagi individu iaitu Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 41, dan pasangan suami isteri, Nidarahayu Zainal, 36, serta Raibafie Amdan, 41, turut didakwa atas 19 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM250,000.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram, atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN