HULU LANGAT: Suami kepada penyanyi Zehra Zambri, Nur Mohd. Iqwan Samsudin masih tinggal sebumbung dengan isterinya, walaupun mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Nur Mohd. Iqwan berkata, keputusan itu diambil bagi melindungi anaknya, Zahiyah, 3, daripada dicederakan Zehra yang dikatakan panas baran jika mengalami tekanan.
“Saya masih tinggal bersama kerana mahu melindungi anak saya, itu sahaja. Kedua pula untuk melindungi kepentingan saya. Kalau saya ikutkan permintaan Zehra untuk bercerai secara laluan pantas (fast track), dia boleh cakap dan minta apa sahaja.
“Kalau saya lafaz cerai hari ini, reputasi saya akan tercemar kononnya saya seorang pen dera. Tentang rumah, saya sudah bayar tiga tahun. Zehra seorang yang ganas dan kaki pukul. Dia akan buat apa sahaja kalau dia tertekan.
“Tiada hubungan kelamin atau kasih sayang antara kami. Ibarat orang asing tapi berfungsi dengan baik sebagai ibu ayah,” dakwanya ketika diminta mengulas mengenai keputusannya yang enggan melafazkan talak, semalam.
Nur Mohd. Iqwan turut mendakwa, saraf matanya mempunyai kecederaan akibat dipukul Zehra dan mempunyai laporan perubatan mengenai insiden itu.
“Saya lelaki, memang saya akan lindungi diri saya (daripada dipukul). Tahun pertama kahwin pun saya sudah kena pukul.
“Mata sebelah saya tidak nampak, kena pakai cermin mata setelah dia pukul saya dengan objek di belakang kepala. Doktor cakap ada saraf yang terjejas.
“Ada juga parut di badan saya yang akan disimpan sampai bila-bila. Zehra yang lakukan menggunakan objek tajam. Semua itu ada laporan polis dan kesihatan,” dakwanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat meminta Zehra dan suami untuk melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada prosiding kedua 7 Mei ini. Zehra mendirikan rumah tangga dengan Nur Mohd. Iqwan pada 10 November 2021. – UTUSAN